Pendaki Gunung Kinabalu cedera terjatuh diselamatkan

Pendaki Gunung Kinabalu cedera terjatuh diselamatkan

Ranau: Seorang pendaki diselamatkan pasukan penyelamat selepas mengalami kecederaan apabila terjatuh ketika menuruni gunung di kilometer 6.0, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, lelaki tempatan berusia 60 tahun itu dilaporkan cedera di muka dan dibawa turun untuk mendapatkan rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.05 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta malim gunung dan anggota Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa kemudiannya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ oleh Malim Gunung,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain.

“Operasi ditamatkan pada jam 11.30 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|