Kemalangan dua bas persiaran, 3 parah 12 cedera ringan

Kemalangan dua bas persiaran, 3 parah 12 cedera ringan

Kota Kinabalu: Tiga parah manakala 12 cedera ringan selepas bas persiaran dinaiki melanggar belakang sebuah lagi bas persiaran dalam kejadian di Jalan Pantai berhampiran Harbour City, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.08 malam.

Mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital.

Katanya, seramai 10 anggota termasuk pegawai bersama jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan van digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan dua bas persiaran. Dipercayai sebuah bas persiaran melanggar sebuah lagi bas persiaran yang berada di hadapan.

Pasukan bomba membantu mengangkat mangsa yang cedera untuk dihantar ke hospital.

“Terdapat 15 mangsa yang terbabit. Tiga mangsa parah manakala 12 cedera ringan dan semua mereka dari bas persiaran di bahagian belakang,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE) menggunakan ambulans dan van bomba.

Mangsa yang cedera dalam kemalangan membabitkan dua bas persiaran di Jalan Pantai berhampiran Harbour City, Kota Kinabalu.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

“Operasi ditamatkan pada jam 8.18 malam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|