Keluar WARISAN untuk pastikan Limbahau dapat pembelaan – Juil Nuatim

Keluar WARISAN untuk pastikan Limbahau dapat pembelaan – Juil Nuatim

Papar: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim menjelaskan tindakannya keluar daripada Parti Warisan (WARISAN) baru-baru ini semata-mata untuk memastikan kawasan Limbahau tidak tersisih daripada pembangunan.

Beliau menegaskan, niatnya apabila keluar WARISAN adalah untuk memastikan rakyat Limbahau mendapat pembelaan yang sewajarnya dan bukannya untuk memusuhi sesiapa.

Jelasnya, masih banyak pembangunan yang perlu dilakukan di Limbahau dan usaha ke arah itu agak sukar apabila berada di pihak pembangkang.

“Kita keluar bukan mahu bersaing tetapi agenda saya adalah untuk pembangunan di kawasan ini (Limbahau) sebab Limbahau adalah kawasan yang agak mundur dan terpencil sedikit terutama di Mandalipau, Kaiduan, Bolotikon, Gisuang.

“Saya juga selalu bangkitkan di kawasan Tanaki, Mandalipau yang langsung tiada akses internet, saya selalu suarakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi kalau berada di pembangkang, suara kita tidak didengari.

“Tapi andai kita beri sokongan kepada kerajaan, kita akan mendapat satu manfaat yang baik kerana ini adalah keperluan dan kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Juil berkata, tindakannya keluar WARISAN dan menyokong kerajaan juga adalah untuk generasi akan datang di kawasannya kerana berpendapat masanya membawa pembangunan di Limbahau sudah agak terhad.

“Kalaulah saya sudah tiada, saya sudah sekian lama dalam politik, sudah pasti tiada kenangan saya di dalam politik jika gagal membawa pembangunan kepada Limbahau.

“Ia merugikan rakyat di kawasan ini juga jika terus menentang kerajaan, jadi saya berharap rakyat di Limbahau faham dengan keadaan kita,” katanya.

Sementara itu, Juil berkata seramai kira-kira 300 ahli WARISAN di Limbahau termasuk ketua-ketua cawangan, jawatankuasa bahagian dan wirawati turut keluar daripada parti itu pada Ahad lalu.

Katanya, kesemua mereka keluar WARISAN untuk memberi sokongan kepada bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Peter Anthony yang menubuhkan parti baharu.

Akhir bulan lalu, Juil bersama Peter mengumumkan keluar WARISAN untuk menubuhkan sebuah parti berbilang kaum yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Majlis pengenalan parti baharu itu dijadualkan berlangsung pada 28 Januari ini di Tenom.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|