Pelajar Labuan dan Jepun bertukar budaya

Pelajar Labuan dan Jepun bertukar budaya

Labuan: Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menganjurkan program pengantarabangsaan bersama University of Toyo, Tokyo pada Isnin lalu.

Penyelaras program, Faridah Amit, berkata seramai 75 pelajar yang membabitkan 28 pelajar University of Toyo dan 47 pelajar sekolah menengah di Labuan terbabit dalam program yang memasuki siri ke-3 sejak tahun 2021.

Penyelaras program, Faridah Amit.

“Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan peluang mengenali budaya antara dua negara kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima serta Enam di Labuan.

“Selain itu juga, program ini memberi peluang berinteraksi kepada pelajar walaupun berlainan bahasa,” katanya yang juga Penolong Pengarah di Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan Labuan.

Antara makanan ringan di Jepun.

Dalam sesi kali ini yang dilaksanakan secara dalam talian, pelajar Labuan berpeluang mengenali beberapa aspek dalam kehidupan remaja di negara matahari terbit itu.

Antaranya ialah aktiviti pembelajaran, rekreasi, makanan dan permainan tradisi seperti Daruma-san ga Koronda.

Antara permainan tradisional di Jepun.

Pelajar Tingkatan 4 SMK Taman Perumahan Bedaun, Maizura Mazilani Mazlan, mengalu-alukan penganjuran program seumpama itu yang memberikan motivasi dan semangat pelajar Labuan melanjutkan pengajian tinggi ke Jepun.

“Saya berharap dapat ke University of Toyo, Tokyo suatu hari nanti. Terima kasih kepada Sektor Perancangan yang memberi peluang kepada pelajar Labuan berinteraksi dengan pelajar Jepun,” katanya.

Pelajar 6AB SMK Labuan, Mohd Aidil Farhan pula melahirkan rasa bertuah kerana terpilih menyertai program berkenaan.

“Saya dapat mengenali budaya Jepun dengan lebih dekat. Kebetulan pula saya memang meminati majalah Mangas dan karya kartun Jepun yang begitu popular di Malaysia,” katanya.

Program itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Labuan, Mohd Nizam Yasim.

Dalam ucapan penutupannya, beliau berharap agar program jaringan antarabangsa itu dapat diteruskan walaupun pandemik Covid-19 masih melanda dunia.

Program kali ini dikendalikan guru SMK Rancha-Rancha, Cladius Upin Lonsiong Jr sebagai moderator.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|