Lahad Datu: Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Lahad Datu mengambil inisiatif membina sebuah pondok untuk kegunaan pengunjung di Taman Bandar Lahad Datu selain menganjurkan gotong royong membersihkan taman berkenaan sempena sambutan Kaamatan peringkat Lahad Datu, di sini, semalam.
Program berkenaan disempurnakan oleh Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD), Jackley Gilbert yang mewakili Pegawai Daerah Lahad Datu, Muhamad Ayub Yakub sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan peringkat Lahad Datu.
Pembinaan pondok dan gotong royong di taman yang menjadi tumpuan aktiviti riadah warga bandar Lahad Datu itu selari dengan sambutan Kaamatan kali ini yang bertemakan Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi.
KDCA Lahad Datu dan Gringo Lahad Datu iaitu sebuah badan sukarelawan di daerah ini selaku penganjur bersama program itu mengambil inisiatif berkenaan bagi meningkatkan kemudahan, kebersihan dan keindahan Taman Bandar Lahad Datu.
Hadir sama Pengerusi KDCA Lahad Datu, Manuel Martin dan Pengerusi Gringo Lahad Datu, Miss Melvitajit.
Bersempena program itu KDCA Lahad Datu turut memperkenalkan finalis Unduk Ngadau Kaamatan Lahad Datu 2022 dengan membawa mereka menyertai aktiviti membersihkan persekitaran Taman Bandar dan menanam pokok bunga di kawasan itu.
Manuel berkata, perayaan Pesta Kaamatan adalah platform untuk mengekalkan budaya dan adat istiadat Kadazandusun Murut (KDM) yang sangat dekat dengan alam semulajadi terutama dalam kalangan golongan muda.
Katanya, tema sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, iaitu Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi bertepatan dengan program yang diadakan itu dengan membawa finalis Unduk Ngadau bermesra dengan alam semulajadi.
Sementara itu, Melvitajit berkata, Gringo adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan atas inspirasi daripada Trash Hero.
Katanya, Gringo adalah kumpulan sukarelawan yang membersihkan kawasan terutamanya di pantai, sungai dan bandar.
“Kami bukan sekadar melakukan aktiviti pembersihan semata-mata, kami juga mengumpul data yang mana data-data tersebut akan digunakan untuk mengenal pasti masalah-masalah di kawasan yang dikenal pasti dan secara tidak langsung membantu agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan yang seterusnya.
“Gringo turut terlibat memberi taklimat di sekolah-sekolah, agensi kerajaan dan swasta mengenai penjagaan alam sekitar,” katanya.
Menurutnya, matlamat Gringo adalah untuk memberi kesedaran dan ilmu pengetahuan mengenai penjagaan alam sekitar di Lahad Datu.
“Permulaan atau tindakan yang kecil boleh memberi impak yang besar pada masa hadapan, terutamanya bagi masyarakat Lahad Datu,” katanya.
Seramai 10 finalis Unduk Ngadau Kaamatan Lahad Datu 2022 turut menyertai program berkenaan iaitu Elayne Marcella Robert, Heleyana Kichon, Faveyona Linos, Laura Tony, Lilyana, Cheryl Henry Amboh, Chelsie Madeline Henry, Eviana Ivonne Musli, Andrea Lonsiong Ronnie dan Jesnie Langut@Lanyut.
-Deasoka