Kota Kinabalu: Kerajaan negeri melahirkan rasa bangga atas kejayaan dua anak tempatan Sabah terpilih mewakili Malaysia ke World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Disneyland, California, Amerika Syarikat pada 21 Julai hingga 2 Ogos depan.
Perkara itu dizahirkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika menemui kedua-dua mereka, Amberly Maidon dan Hayden Hansanon Humprey Suimin di Menara Kinabalu hari ini.
Hajiji turut mengucapkan selamat berjaya kepada mereka berdua atas pemilihan berkenaan dan berharap dapat mencipta kejayaan pada kejohanan bakat peringkat antarabangsa itu.
“Saya bangga dengan adik Amberly dan Hayden kerana dipilih mewakili negara ke WCOPA. Mereka akan membawa nama negeri Sabah, Malaysia ke persada dunia.
“Saya yakin mereka mampu melakukan yang terbaik. Saya mengucapkan selamat berjaya,” kata Hajiji sambil memberi kata-kata semangat kepada mereka berdua yang hadir bersama ibu bapa masing-masing.
Hanya dua orang dari Sabah dipilih mewakili negeri ini ke WCOPA yang juga dikenali sebagai ‘Olympics for Performers and Entertainers’.
Kejohanan itu pernah melahirkan ramai artis hebat di Malaysia seperti Fanzi Ruji, Eylia Guntabid, Aina Abdul dan Allahyarham Siti Sarah.
Amberly, 15 akan bertanding dalam kategori Vokal Junior (umur 13-15 tahun), manakala Hayden dalam kategori Vokal Senior (umur 18-24 tahun).
Amberly yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin, Penampang sebelum ini memenangi pingat emas dalam Malaysia Championship of Performing Arts (MCOPA) 2021.
-Deasoka