Kampung Darau berpotensi sebagai pusat pelancongan

Kota Kinabalu: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan akan membawa cadangan untuk memperkenalkan Kampung Darau sebagai salah sebuah pusat pelancongan di negeri ini.

Katanya, Kampung Darau mempunyai tarikannya yang tersendiri dan berpotensi untuk dijadikan pusat pelancongan berikutan lokasinya yang strategik ditambah budaya yang unik komuniti Bajau Samah.

Yakub ketika meninjau program Tamu Miyolon Ensambiyan Aidilfitri di Kampung Darau, Manggatal, Kota Kinabalu.

“Tamu Miyolon Ensambiyan Aidilfitri adalah salah satu aktiviti yang menarik iaitu ia adalah perkataan dari suku kaum Bajau Samah yang bermakna pertukaran antara barang iaitu kuih kuih dan sajian pagi raya dalam kalangan rakan dan keluarga.

“Budaya ini telah berlaku sejak sebelum merdeka lagi dan berjaya dikekalkan di Kampung Darau ini dan telah diamalkan khususnya pada Aidilfitri,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan acara Miyolon Ensambiyan Aidilfitri, di Kampung Darau, di sini, semalam.

Katanya lagi, masyarakat di kampung berkenaan mengambil inisiatif untuk menjadikan ia sebagai satu tarikan pelancongan di kawasan itu.

“Saya secara peribadi memikirkan bahawa perkara ini perlu diangkat selain sebagai satu budaya usaha pelancongan, di mana kalau kita lihat Kampung Darau ini saja mempunyai lokasi yang sangat cantik selain boleh dihubungi jalan darat dan boleh juga dihubungi melalui sungai.

“Pakej-pakej ini kalau kita gabungkan, saya yakin dan percaya ia boleh menjadi penjana ekonomi bukan saja kepada penduduk kampung ini malah sekitar Darau.

“Jadi saya akan membawa kepada pihak pelancongan (kementerian) khususnya kerajaan agar dapat diberi perhatian dan usahakan bagaimana kita mengangkat kampung Darau ini sebagai tempat yang dibanggakan. Penduduk dan kepimpinannya perlu juga menawarkan sesuatu uang menarik di kampung ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, program seperti itu tidak harus diadakan hanya setahun sekali tetapi perlu diselangi dengan pakej-pakej lain yang menarik perhatian untuk pelancongan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|