Bomba bantu bawa warga emas ke hospital

Penampang: Seorang pesakit wanita dengan berat badan 140 kilogram terpaksa dibantu pasukan bomba dan penyelamat untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan, semalam.

Dalam operasi jam 9 malam itu, mangsa berusia 84 tahun terbabit dilaporkan terlantar sakit di rumahnya di Jalan Putatan, Taman Kinalee, di sini, dan terpaksa dibantu selepas sukar dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya.


Pasukan operasi menjalankan kerja-kerja membantu mengangkat mangsa untuk dihantar ke Hospital KPJ.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, keluarga mangsa menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang untuk bantuan pada jam 9.08 malam tadi.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke rumah mangsa.

“Sebaik tiba di rumah berkenaan, pasukan operasi mendapati seorang wanita warga emas yang memerlukan rawatan sedang terlantar di atas katil.

“Anggota bomba kemudiannya mengangkat mangsa ke dalam kenderaan dan terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya dihantar ke Hospital KPJ menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.12 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|