Kadar zakat fitrah Sabah kekal RM7

Kadar zakat fitrah Sabah kekal RM7

Kota Kinabalu: Kadar bayaran zakat fitrah bagi negeri Sabah pada tahun ini dikekalkan iaitu sebanyak RM7.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, kadar zakat fitrah itu adalah berasaskan sukatan 2.7 kilogram beras yang dimakan oleh majoriti penduduk di Sabah ini.

Bungsu menunjukkan kadar zakat fitrah RM7 bagi negeri Sabah tahun ini.

“Saya sebagai mufti kerajaan Sabah mengisytiharkan bahawa kadar zakat fitrah bagi tahun 1443 Hijriah bersamaan tahun 2022 Masihi adalah sebanyak RM7 sahaja ke atas setiap orang Islam yang bermastautin di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pengisytiharan kadar zakat fitrah bagi negeri Sabah, di Wisma Muis, di sini, hari ini.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung prosedur operasi standard (SOP) solat Tarawih di negeri ini, Bungsu berkata, umat Islam dibenarkan mengerjakan solat Tarawih mengikut kapasiti penuh masjid.

“SOP Tarawih pada tahun ini Alhamdulillah kita telah diberikan sedikit kelonggaran dengan membenarkan semua masjid di negeri ini dengan kapasiti yang penuh dan penjarakan sosial di masjid berdasarkan sejadah.

“Maksudnya sejadah yang lazim dipakai, tidak terlalu kecil atau besar, jadi itu setakat ini yang dibenarkan. Maknanya Alhamdulillah, saya fikir lebih daripada separuh kapasiti jemaah boleh masuk sudah,” katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau memaklumkan dari segi saf jemaah adalah rapat namun tidak bertemu bahu serta kaki mengikut sejadah yang dibawa masing-masing.

“Selain itu, kita di Sabah masih mengekalkan SOP sebelum ini yang penting lengkap menerima vaksin Covid-19, pemakaian pelitup muka dikekalkan dan tidak ada bersentuhan, bersalaman atau berpelukan masih lagi dilarang.

“Bagi moreh pula, digalakkan membawa makanan secara berbungkus dan majlis Tadarus Al-Quran adalah dibenarkan dengan masa yang dihadkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|