Usahawan Sabah digalak terokai bidang baharu

Usahawan Sabah digalak terokai bidang baharu

Kota Kinabalu: Usahawan di negeri ini digalakkan supaya menerokai bidang atau produk baharu yang lebih sesuai dengan pasaran dunia pada masa kini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, ia perlu agar perniagaan dan produktiviti terus relevan dan berdaya saing serta maju seperti dalam bidang pertanian, perladangan, perkhidmatan, kejuruteraan, kesenian, multimedia dan lain-lain.

Yakub menyempurnakan pelancaran Business Usahawan Sepanggar (BUS).

Katanya, begitu juga dengan Business Usahawan Sepanggar (BUS) yang digalakkan supaya membuat penampilan yang lebih mantap dan efisien di samping dapat mempertajamkan lagi ilmu ‘Marketing Digital’.

“Ia perlu selaras dengan perkembangan dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar, lebih-lebih lagi ketika kita akan mengharungi fasa baharu endemik bermula 1 April 2022.

“Saya juga ingin menyeru kepada golongan belia dan beliawanis di luar sana supaya dapat menyahut segala peluang yang disediakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran BUS, di sini, hari ini.

Yakub berkata, antara peluang yang disediakan kerajaan adalah seperti kursus, latihan dan program keusahawanan agar dapat memantapkan lagi kemahiran dan perniagaan masing-masing.

“Percayalah setiap pengorbanan dan jerih payah pasti akan ada ganjaran yang menanti dan tidak ada jalan yang mudah melainkan usaha yang gigih dan iltizam yang kuat untuk menjadi usahawan yang berjaya.

“Selaku Menteri Sains Teknologi dan Inovasi dan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N16 Karambunai, saya akan sedaya upaya untuk membantu BUS di dalam kapisiti yang termampu dan sebaik mungkin,”katanya.

Yakub berkata, beliau mengharapkan agar komitmen seperti ini akan dapat diteruskan untuk membantu dan membimbing usahawan yang terdapat di dalam BUS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|