Juragan terjun laut tinggal bot bawa 11 PATI

Juragan terjun laut tinggal bot bawa 11 PATI

Sandakan: Seorang juragan nekad terjun ke laut selepas bot dikendali dengan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dihampiri Pasukan Polis Marin di perairan Laut Mangkalinau Batu 3, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, bot ronda dari Markas Operasi PPM Sandakan yang sedang menjalankan rondaan di kawasan perairan Laut Nunuyan, di sini, mengesan sebuah bot laju bergerak ke arah Mangkalinau Batu 3 dalam keadaan mencurigakan.

Susulan itu, bot ronda PPM kemudian mengekori dan menyedari kehadiran pasukan PPM, bot berkenaan terus memecut laju.

Sebaik dihampiri, salah seorang daripada penumpang bot disyaki juragan bertindak terjun ke laut serta gagal dikesan.

Pasukan bot ronda kemudian menahan bot laju dan hasil pemeriksaan mendapati seramai 11 individu termasuk dua kanak-kanak yang menaiki bot berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Pasukan PPM kemudian menahan semua penumpang terbabit dan merampas bot berkenaan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|