Johnny Mositun kekal Ketua Bahagian PBS Limbahau

Johnny Mositun kekal Ketua Bahagian PBS Limbahau

Papar: Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun kekal sebagai Ketua Bahagian PBS Limbahau menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang ke-36 yang diadakan baru-baru ini.

Johnny berkata, banyak perancangan yang dirangkanya untuk pembangunan kawasan Limbahau dan akan diusahakan selepas diberi kepercayaan terus memimpin parti bagi bahagian itu.

“Antara pembangunan yang saya cadangkan termasuk pembinaan sekolah menengah, klinik kesihatan, balai polis, balai bomba dan penyelamat serta rumah kedai di Kampung Marahang dan Kampung Gana,” katanya dalam AGM itu.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat terus bersama PBS Limbahau untuk memberi perkhidmatan kepada 40 kampung di kawasan ini.

“Kami juga memerlukan masa untuk menjadikan perjuangan PBS Limbahau untuk rakyat di Limbahau satu realiti terutamanya di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)- Barisan Nasional (BN).

“PBS terus relevan dalam gabungan yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.

Terdahulu, AGM itu turut dirasmikan oleh Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Radin Malleh.

Dalam majlis yang sama, seramai 101 belia di kawasan itu memohon untuk menyertai PBS Limbahau dan dua cawangan baharu telah ditubuhkan di bahagian itu.

Johnny dalam pada itu turut mengalu-alukan penyertaan ahli baharu ke dalam parti itu dan menegaskan bahawa mereka akan menjadi pemimpin di masa depan bagi parti dan negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|