JKDM rampas minuman keras, rokok seludup bernilai RM7 juta

JKDM rampas minuman keras, rokok seludup bernilai RM7 juta

Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok dalam dua serbuan berasingan di Pelabuhan Tawau dan Kota Kinabalu, 13 dan 14 Disember lalu.

Serbuan yang dijalankan Cawangan Siasatan Khas dan Unit Operasi Penguatkuasaan serta Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) itu berjaya merampas keseluruhan barangan yang dianggarkan bernilai RM7.9 juta termasuk duti dan cukai.

Mohd Nasir ketika sidang media berkenaan rampasan minuman keras dan rokok di kawasan pemeriksaan Kastam Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, hasil operasi dijalankan, JKDM berjaya merampa empat kontena berisi rokok dan minuman keras.

Katanya, semua barangan yang dianggarkan bernilai RM1.14 juta itu disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara untuk pasaran tempatan.

Mohd Nasir memeriksa rampasan minuman keras dan rokok di kawasan pemeriksaan Kastam Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Bagi kes pertama 13 Disember lalu, serbuan jam 7.20 malam itu berjaya menahan dua kontena disyaki berisi minuman keras yang cuba diseludup masuk melalui Pelabuhan Tawau.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kontena berkenaan mengandungi sejumlah 36,432 liter minuman keras bernilai RM218,227.68 manakala nilai duti serta cukai pula berjumlah RM568,069.12,” katanya pada sidang media di kawasan pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Sepanggar, hari ini.

Mohd Nasir berkata, bagi kes kedua pula dijalankan pada jam 10.15 pagi, 14 Disember lalu di Pelabuhan Sepanggar, di sini.

Katanya, bertindak hasil penilaian risiko dan mesin pengimbas, pasukan operasi menahan dua kontena disyaki berisi minuman keras dan rokok seludup.

“Hasil pemeriksaan awal, kontena berkenaan mengandungi 31,752 liter minuman keras dengan anggaran nilai RM104,781.60 dan RM466,278.12 bagi nilai duti serta cukai terlibat.

“Manakala sebuah lagi kontena mengandungi 10.3 juta batang rokok putih bernilai RM824,000 dengan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM6.8 juta,” katanya.

Mohd Nasir berkata, modus operandi bagi kedua-dua kes ini adalah dengan membuat pengikraran palsu sebagai barangan lain bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana yang lebih besar.

“Pesalah turut boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Nasir berkata, masyarakat digesa supaya membantu pihak JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan hasil negara tetapi juga mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|