Pastikan hak Sabah dibawa ke Kabinet Persekutuan – Ewon

Pastikan hak Sabah dibawa ke Kabinet Persekutuan – Ewon

Kuala Lumpur: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mengulangi komitmennya untuk memastikan hak Sabah dibawa ke Kabinet Persekutuan.

Menurutnya, perkara itu penting kerana tidak akan wujud keharmonian dalam hubungan Semenanjung dan Borneo tanpa ia dibincangkan dan dimuktamadkan dalam Kabinet.

“Ini juga penting kerana hubungan atau keharmonian antara kedua-dua wilayah boleh membentuk kestabilan politik.

“Itulah sebabnya kami mengalu-alukan penglibatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Tanpa Sabah, tiada Malaysia. Kita membentuk negara ini melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kerajaan Perpaduan mempunyai tanggungjawab besar untuk menyampaikan permuafakatan ini kepada rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung melalui perjanjian ini,” katanya dalam sesi Bicara Naratif di Radio Televisyen Malaysia (RTM), baru-baru ini.

Ewon berkata, beliau bukan sahaja menumpukan kepada perkara berkaitan kementeriannya di seluruh negara, namun beliau juga akan memperjuangkan hak Sabah dalam MA63.

Beliau memetik 40 peratus hasil bersih kepada Sabah daripada kerajaan persekutuan sebagai contoh.

“Ini merupakan tanggungjawab saya sebagai salah seorang menteri dari Sabah yang dilantik dalam Kabinet Persekutuan,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|