JIM pindahkan 124 warga Indonesia

JIM pindahkan 124 warga Indonesia

Kota Kinabalu: Seramai 124 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipindahkan dari Pelabuhan Tawau untuk balik ke negara asal, hari ini.

Semua PATI terbabit yang sebelum ini ditahan di tiga Depot Imigresen dihantar ke Pelabuhan Nunukan, menggunakan pengangkutan laut.

PATI dipindahkan dari Pelabuhan Tawau untuk balik ke negara asal mereka.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, program berkenaan melibatkan pemindahan tahanan dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia.

Katanya, semua yang dipindahkan membabitkan seramai 106 lelaki, 14 wanita dan empat kanak-kanak.

PATI dihantar pulang ke negara asal menggunakan pengangkutan laut melalui Pelabuhan Tawau.

“Semua kanak-kanak yang dipindahkan adalah penghantaran bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing.

“Semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

Sementara itu, SH Sitti Saleha menasihatkan semua warga asing supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah.

Katanya, setiap majikan juga turut diingatkan supaya bertanggungjawab dengan memastikan pekerja yang digaji mempunyai dokumen dan pas kerja yang sah untuk diambil bekerja.

“Kepada mereka yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang negara pasti akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan perundangan sedia ada.

“Ini kerana semua agensi penguatkuasaan di seluruh negeri Sabah akan bersama-sama melakukan operasi penguatkuasaan secara berterusan dari semasa ke semasa,” katanya.
 
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, JIM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam program pemindahan ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan.

Katanya, JIM Negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI.

“Ia dijalankan selepas semua PATI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|