Sandakan: Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam Operasi Gegar di sebuah premis hiburan di kawasan Bandar Indah, Batu 4 Jalan Utara, di sini, kelmarin.
Dalam operasi pada jam 11.25 malam itu, semua PATI berusia 17 hingga 32 tahun ditahan selepas didapati tiada dokumen pengenalan diri yang sah berada di negara ini.
Pengarah JIM Sabah, SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi itu dilaksanakan oleh 14 pegawainya dari Unit Penguatkuasa, Pejabat Imigresen
Sandakan.
“Dalam operasi ini seramai 40 individu telah diperiksa dan 12 daripadanya ditahan terdiri daripada enam lelaki dan lima wanita warga Filipina dan seorang lelaki warga Indonesia.
“Kesemua PATI yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen
6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan berumur di antara 17 sehingga 32 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, serbuan dilakukan ketika sebahagian PATI sedang berhibur sebagai pelanggan dan ada juga turut disyaki sebagai pekerja di premis berkenaan.
“Turut ditahan ketika serbuan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun disyaki sebagai majikan dan akan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja warga asing yang tidak memiliki pas yang sah dan Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki membenarkan imigran haram untuk masuk dan berada di dalam premis tersebut,” katanya.
Katanya lagi, operasi di premis hiburan seperti ini akan dipergiat dan diteruskan oleh JIM Sabah untuk membanteras PATI khususnya yang disyaki terlibat dalam aktiviti-aktiviti tidak bermoral.
“JIM Sabah akan terus komited dalam usaha untuk membanteras dan mencegah kehadiran PATI di Sabah dan memberi amaran kepada orang awam khususnya majikan agar mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan Imigresen yang berkuatkuasa.
“Saya juga dengan tegasnya mengingatkan pihak-pihak yang telibat agar tidak memperlekeh dan melanggar undang-undang Imigresen kerana JIM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuklah hukuman berat tanpa kompromi kepada mereka,” katanya.
-Deasoka