17 penuntut UKM timba ilmu di JBS WP Kuala Lumpur, rasai sukan FootGolf

Kota Kinabalu: Seramai 17 penuntut Sarjana Pendidikan Pengurusan Sukan (Eksekutif), Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan lawatan akademik ke Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan (JBS WP) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara tujuan utama lawatan itu diadakan adalah bagi mendedahkan kepada penuntut berkaitan cara pengurusan sukan di peringkat tinggi.

Pengarah JBS WP Kuala Lumpur Asmori Sa’ahari menyampaikan cenderakenangan kepada wakil penuntut UKM yang mengadakan lawatan ke jabatan berkenaan, baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Pengarah JBS WP Kuala Lumpur Asmori Sa’ahari turut memberi taklimat mengenai organisasi peringkat wilayah yang fokus kepada Bahagian Pembangunan Sukan yang dipecahkan kepada empat unit.

Empat unit berkenaan ialah Unit Penggalakkan dan Pembangunan Sukan, Unit Kecergasan Nasional, Unit Pembangunan Sukan Rekreasi dan Unit Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya.

Selain itu, para penuntut juga diberi taklimat mengenai selok-belok pengurusan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tersusun selain didedahkan dengan program-program sukan yang telah dianjurkan dan bakal dianjurkan oleh pihak JBS WP Kuala Lumpur.

Antara program yang telah dan bakal dianjurkan JBS WP Kuala Lumpur adalah seperti Hari Sukan Negara, Malaysia Sports League (MSL) dan beberapa lagi.

Dalam lawatan yang berlangsung selama dua jam itu, pelajar juga didedahkan berkaitan prasarana sukan yang disediakan serta prosedur pengurusan tempahan, prosedur pengurusan kewangan, prossedur pengurusan fasiliti, prosedur pengurusan risiko, prosedur pengurusan promosi, dan cabaran pengurusan semasa dan selepas endemik.

Sementara itu, dalam lawatan berasingan, penuntut UKM berpeluang merasai sukan yang boleh dikatakan masih baharu di negara ini iaitu ‘FootGolf’.

Pendedahan kepada sukan berkenaan berlangsung di ‘The Home of FootGolf Malaysia’, di Bukit Jelutong Golf Center, Bukit Jelutong.

Semua mereka dipecahkan kepada empat kumpulan seterusnya mereka diajar serta bermain sembilan lubang secara persahabatan.

Satu sesi penerangan ringkas oleh pihak FootGolf Malaysia turut diadakan bagi menerangkan dengan lebih jelas mengenai sukan FootGolf kepada para pelajar.

Kos yang perlu dibelanjakan untuk mencuba sukan FootGolf ini amat berpatutan dan minima selain sukan ini mempunyai nilai eksklusif tersendiri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|