Kota Belud: Seramai 40 pesawah di Kampung Jawi-Jawi, di sini bakal menerima pelbagai manfaat menerusi Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Projek SMART SBB seluas kira-kira 45 hektar itu dilaksanakan menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri serta agensi di bawahnya, selain Kawasan Pembangunan Pertanian Kota Belud (IADA), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata projek itu dibangunkan BERNAS dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan untuk membina sistem pertanian dan jaringan pesawah yang dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan melalui peningkatan hasil padi berkualiti.
Katanya, SMART SBB dirangka khusus sebagai hala tuju baharu subsektor padi dan beras negara untuk meningkatkan produktiviti dalam mencapai Tahap Sara Diri (SSL) beras 75 peratus yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi mengurangkan kebergantungan import.
“Saya yakin kolaborasi strategik di antara MAFI dengan syarikat peneraju akan menjadi titik permulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan, di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM68.97 juta kepada Sabah pada tahun ini menerusi tiga program subsidi input dan satu program subsidi output pertanian yang dijangka memberi manfaat kepada 45,016 orang pesawah termasuk penanam padi bukit.
Pada majlis yang sama, Ronald turut menyempurnakan simbolik majlis pecah tanah pembinaan Kompleks IADA Kota Belud yang akan menjadi mercu tanda kepada pembangunan industri padi dan beras di Sabah.
Katanya, selaras dengan usaha untuk memperkasa peranan IADA dan membantu pembangunan subsektor padi di Kota Belud, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM36 juta untuk membina kompleks itu yang dijangka siap dalam RMKe-12.
“Kerajaan juga sedang giat membangunkan sistem pengairan dan saliran Kota Belud yang melibatkan kos sebanyak RM410.39 juta untuk mengatasi masalah air.
“Ia merangkumi 17 projek pembangunan yang melibatkan kerja naik taraf sistem pengairan dan saliran, pembinaan tali air utama, jalan ladang dan infrastruktur lain yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030.
“Seluas 5,000 hektar kawasan penanaman padi sebanyak dua kali setahun akan dapat dilaksanakan apabila ianya siap kelak sekali gus memberi manfaat kepada pesawah dari segi peningkatan hasil dan pendapatan serta menyumbang kepada peningkatan SSL Sabah kepada 60 peratus,” katanya.
Selain itu, Ronald berkata MAFI juga bercadang untuk mengoptimumkan penggunaan sumber tanah di Sabah dan Sarawak dengan sasaran pembukaan kawasan jelapang baharu seluas 200,000 hektar di kedua-dua negeri melalui kerjasama kerajaan negeri masing-masing dengan anggaran pengeluaran hasil padi sebanyak 1.2 juta tan metrik setahun.
Sementara itu, Ketua Blok Skim Jawi-Jawi Kota Belud, Rajumin Jamrin menyifatkan program SMART SBB di kampung itu memberi pelbagai manfaat kepada mereka.
“Melalui program ini, ianya membantu kami untuk mengusahakan sawah secara berpasukan dan lebih sistematik. Selain itu, BERNAS turut membimbing kami dalam penetapan Jadual Kerja Ladang yang lebih teratur dan mampu mengurangkan risiko tanaman serta mengelakkan pembaziran input pertanian.
“Ini sekali gus dapat membantu kami dalam meningkatkan hasil padi
serta pendapatan kami,” katanya.
Katanya, mereka turut didedahkan dengan penggunaan teknologi dron untuk memudahkan proses menyembur baja dan racun agar lebih sekata meliputi seluruh kawasan ladang dalam tempoh masa yang jauh lebih singkat, di samping mengurangkan penggunaan tenaga dan mengoptimumkan input serta kos.
-Deasoka