Jeffrey timbang ambil tindakan undang-undang terhadap Al-Jazeera, Adrian Lasimbang

Jeffrey timbang ambil tindakan undang-undang terhadap Al-Jazeera, Adrian Lasimbang

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita antarabangsa Al-Jazeera berhubung satu artikel yang disifatkannya sebagai fitnah.

Beliau mendakwa, kandungan artikel berkaitan perjanjian kredit karbon di Sabah yang disiarkan oleh portal berkenaan pada 2 Februari lalu adalah satu putar belit dan tidak bertanggungjawab.

Dakwanya, artikel itu ditulis berdasarkan kata-kata pemberi maklumat semata-mata, tanpa membuat semakan dengan kerajaan yang meluluskan Perjanjian Konservasi Alam Semulajadi (NCA) berkaitan perdagangan kredit karbon.

Katanya, beliau turut menimbangkan tindakan sama terhadap bekas Ahli Dewan Negara, Adrian Lasimbang dan individu lain yang menyebarkan maklumat salah kepada awam, khususnya yang memfitnah dirinya.

“Saya menimbangkan mengambil tindakan undang-undang terhadap Al-Jazeera dan Adrian serta yang lain kerana secara aktif menyebarkan maklumat salah kepada awam, terutama yang memfitnah nama saya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas artikel disiarkan Al-Jazeera pada 2 Februari lalu yang antara lain membongkar dakwaan kisah di sebalik kelulusan NCA terbabit dan kaitan Jeffrey dengan syarikat dari Singapura yang dilantik mengendalikan perdagangan kredit karbon ketika Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu menjadi Pengarah Yayasan Sabah antara 1986 hingga 1993.

Artikel itu turut membongkar dakwaan salah laku yang pernah dikaitkan dengan Jeffrey sepanjang tempoh beliau menjadi Pengarah Yayasan Sabah ketika zaman pentadbiran kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata tindakan Al-Jazeera itu tidak bertanggungjawab kerana apa yang ditulis adalah dakwaan palsu dibuat individu tertentu yang mahu memburukkan NCA terbabit, malah membentuk pasukan mereka sendiri untuk mengambil alihnya.

Beliau berkata, pemberi maklumat yang sama turut mengelirukan dan mengeksploitasi Adrian berhubung isu berkenaan.

“Jelas kedua-dua Al-Jazeera dan Adrian membentuk pendapat mereka sendiri berhubung topik ini berdasarkan pembohongan, maklumat salah diberikan kepada mereka oleh individu tertentu yang bermotif politik dan menghasut komuniti anak negeri dengan memfitnah saya,” dakwanya.

Jeffrey mendakwa, Al-Jazeera turut memfitnahnya berdasarkan maklumat disediakan pemberi maklumat tanpa mengambil peduli untuk menyiasat kebenarannya.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata ketika menjadi Pengarah Yayasan Sabah, beliau melantik orang Sabah untuk mengambil alih jawatan sebagai ketua jabatan yang sebelumnya dimonopoli oleh orang Malaya, malah suami isteri memegang jawatan atas perbelanjaan orang Sabah.

“Mungkin, disebabkan itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad marah kepada saya dan mengada-adakan pembohongan untuk mengotorkan nama saya dan memburukkan kerajaan PBS pada masa itu,” katanya.

Katanya, pada masa itulah beliau mula mempersoalkan Malaya (kerajaan Pusat) mengenai hak Sabah yang menyebabkan Dr Mahathir membalas dendam dengan menghantar pegawai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggeledah rumahnya siang dan malam.

Tidak lama kemudian, Jeffrey berkata beliau diburu Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau sekarang dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain diekori polis cawangan khas sepanjang masa.

Tegasnya, dakwaan Dr Mahathir mengenai USD1 bilion hilang dari tabung Yayasan Sabah juga didapati tidak benar, malah kerajaan persekutuan kalah dalam kes mahkamah dan diperintah membayar kos.

Katanya, selepas semua penganiayaan itu, beliau seterusnya ditahan dan terpaksa menghabiskan masa selama 31 bulan dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Saya bukan ahli politik ketika itu dan adalah salah mendakwa bahawa saya menyertai Dr Mahathir untuk mengelak penganiayaan. Saya sudah diburu dan dipenjara secara salah sebelum menyertai politik,” katanya.

Beliau mendakwa, Yayasan Sabah mencatat pencapaian yang terbaik ketika beliau menjadi pengarahnya.

Katanya, beliau mengasaskan anak syarikat Yayasan Sabah, Innoprise Corporation yang digunakan untuk mengubah syarikat kurang prestasi termasuk Pacific Hardwoods, Sinora, Sabah Softwoods dan YS Shipping, selain membuat pelaburan baharu yang menguntungkan dalam perhotelan, pembangunan hartanah dan Shell Timor.

Malah, katanya beliau melancarkan inisiatif ‘Pembangunan Rakyat’ untuk memperkasa belia menganggur dan terbiar, manakala konsesi perhutanan Yayasan Sabah dirancang dan diurus di bawah skim Annual Allowable Cut (AAC).

“Hanya selepas Dr Mahathir berjaya menghancurkan PBS melalui penggunaan pendatang tanpa izin dan Projek IC, Yayasan Sabah disalah urus menerusi pembalakan besar-besaran.

“Sesiapa saja, khususnya Adrian yang menuduh saya dengan apa-apa saja adalah salah,” katanya.

Sehubungan itu, Jeffrey mengingatkan Adrian dan mereka yang termakan cerita ‘sejarah’ rekaan bahawa maklumat disebarkan kepada umum pada 1980-an dan 1990-an adalah dikawal oleh kerajaan, khususnya persekutuan.

Beliau mendakwa, majoriti maklumat disalurkan kepada mereka adalah propaganda dan media, khususnya radio dan televisyen pada masa itu lebih menjadi alat propaganda kerajaan Pusat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|