Program CSR perlu diperkasa – Bung Moktar

Program CSR perlu diperkasa – Bung Moktar

Kudat: Tanggungjawab sosial korporat (CSR) perlu terus diperkasakan berikutan kepentingannya dalam pembangunan masyarakat terutama untuk membantu golongan yang memerlukan di samping mengurangkan kadar kemiskinan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata menerusi proses pemerkasaan CSR juga, instrumen zakat dan wakaf perlu diberikan keutamaan kerana ia dilihat mampu melengkapi usaha berbentuk kebajikan atau kemasyarakatan.

Bung Moktar menyampaikan sedekah kepada golongan asnaf.

Katanya, program CSR juga tidak semestinya dilaksanakan syarikat korporat semata-mata, malah boleh diperluaskan oleh agensi atau organisasi lain termasuk parti politik sejajar tanggungjawab terhadap rakyat.

“Dalam hal itu, Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah juga tidak terlepas daripada memikul tanggungjawab untuk menyumbang kepada kemajuan masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kereta jenazah sumbangan Pergerakan Pemuda UMNO Kudat kepada Masjid Jamek Kampung Pengaraban, dekat sini, semalam.

Bung Moktar menyampaikan sumbangan kewangan kepada Pengerusi Masjid Jamek Kampung Pengaraban, Kudat.

Program itu adalah antara pengisian Pemukiman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelab Penyokong Kerajaan yang berlangsung selama tiga hari, di sini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan; ADUN Bengkoka, Harun Durbai; Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimee Unggi; Ketua UMNO Bahagian Kudat, Akran Ismail dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kudat, Sufian Abdul Karim.

Bung Moktar menyerahkan kunci kereta jenazah kepada Pengerusi Masjid Jamek Kampung Pengaraban, Kudat.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata tanggungjawab ahli parti bukan sahaja memperkukuhkan parti dan kerajaan, namun turut memenuhi kehendak dan memberi penambahbaikan nilai kepada masyarakat agar mereka lebih dekat kepada parti dan kerajaan.

Katanya, walaupun konsep CSR diambil dari barat, ia dilihat selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan ciri perniagaan yang bukan bertujuan mencapai kejayaan kebendaan semata-mata.

Jelasnya lagi, ciri perniagaan dalam Islam juga menekankan kepentingan menjaga kebajikan sosial masyarakat sekeliling.

“Ini dapat dibuktikan melalui tuntutan mengeluarkan zakat dan galakkan mewakafkan harta. Penubuhan institusi zakat bertujuan membasmi kemiskinan dan membantu kebajikan sosial masyarakat. Begitu juga institusi wakaf yang bertujuan membangunkan sosioekonomi sesebuah negara,” katanya.

Sambil menghargai usaha yang dilakukan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Kudat, Bung Moktar berkata, impak daripada aktiviti CSR dapat dimanfaatkan bersama bagi mencapai kesejahteraan masyarakat dengan memperbaiki taraf kehidupan selain menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara.

Bung yang juga Pengerusi BN Sabah, berkata ketika negara dilanda pandemik Covid-19, BN dan UMNO juga turut memainkan peranan menghulur bantuan bakul makanan di seluruh daerah di negeri ini untuk meringankan beban mereka yang terjejas akibat penularan virus berkenaan.

“Saya berharap semua pemimpin parti di semua bahagian perlu cakna kepada perkembangan semasa selain bencana alam. Pantau juga individu yang benar-benar memerlukan bantuan kebajikan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, selain penyampaian kereta jenazah, Bung Moktar turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada golongan asnaf dan tabung Masjid Jamek Kampung Pengaraban.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|