JBPM Sabah terima sumbangan 10 bot

JBPM Sabah terima sumbangan 10 bot

Tawau: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyerahkan sebanyak 10 bot kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Semua bot berkenaan yang dianggarkan bernilai RM84,000 itu disumbangkan untuk kegunaan pasukan menyelamat berkenaan di seluruh negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menyaksikan penyerahan berkenaan berkata, sumbangan itu adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) YaPIEM bagi membantu agensi yang ada di negara ini.

Katanya, peranan JBPM amat besar dan tidak hanya sekadar memadam api kebakaran kerana mereka turut melakukan kerja-kerja menyelamat terutamanya pada musim banjir.

“Sudah pasti tugas menyelamat ini memerlukan kapasiti aset yang besar serta mampu berfungsi dengan baik ketika diperlukan.

“Bagi memastikan kesiap siagaan JBPM Sabah berada pada tahap terbaik, YaPIEM mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan 10 bot berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis penyerahan bot beserta enjin kepada wakil-wakil ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pengarah YaPIEM, Awang @ Musran Tawil; Ketua Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Zon Tawau, Jasri Jal dan Ahli Lembaga Amanah Yayasan Taqwa-MAIWP, Prof, Dr Mohd Roslan Mohd Nor.

Idris berkata, aset-aset ini diharapkan dapat digunakan oleh pasukan bomba untuk melakukan kerja-kerja menyelamat terutamanya ketika musim banjir.

“Walaupun sumbangan ini kecil, namun diharapkan ia mampu membantu dan memudahkan setiap operasi yang dijalankan oleh pasukan bomba di seluruh negeri.,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, YaPIEM selaku agensi agama di bawah kementerian Hal Ehwal Agama juga sebelum ini banyak menyantuni masyarakat di Sabah.

“Pelbagai agihan sumbangan turut diberikan seperti Foodbank, Sinar Kasih, Inspirasi Prihatin YaPIEM, bantuan keusahawanan dan banyak lagi.

“Saya sentiasa mengingatkan semua agensi di bawah kementerian Hal Ehwal Agama supaya sentiasa turun padang untuk menyantuni golongan yang memerlukan bantuan,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 10 BBP di peringkat daerah menerima bantuan itu, antaranya Penampang, Beaufort, Kimanis, Kuala Penyu, Kota Marudu, Kota Belud, Beluran, Sook, Tenom dan Merotai.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|