Hubungan PAS dengan UMNO, BERSATU masih baik – Idris

Hubungan PAS dengan UMNO, BERSATU masih baik – Idris

Tawau: PAS masih konsisten mengukuhkan hubungan dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata hubungan PAS bersama kedua-dua parti Melayu Bumiputera itu masih baik.

Katanya, kerjasama ketiga-tiga parti itu dalam mentadbir kerajaan juga berjalan dengan lancar.

“Kita konsisten dalam soal perpaduan ummah dan PAS komited mahu menyatukan majoriti dalam kalangan orang-orang Islam di negara ini.

“Justeru, kerjasama PAS, UMNO dan BERSATU perlu diteruskan dan dikekalkan bagi menguatkan lagi hubungan dalam kalangan umat Islam,” katanya ditemui media pada majlis penyerahan bot dan enjin kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di sini, hari ini.

Beliau berkata, kira-kira 65 peratus orang Islam di seluruh negara perlu bersatu membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.

Jelasnya, jika semua Bumiputera Islam bersatu, kaum dan agama lain juga akan dapat menumpang teduh bersama.

“Sebab itu, prinsip PAS kekal mahu memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak menguasai politik di negara kita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya.

Mengenai calon PAS di Sabah pada PRU-15, katanya, setakat ini semua negeri sudah menghantar nama termasuk PAS Sabah.

Bagaimanapun, katanya perbincangan lebih lanjut perlu dibuat untuk calon di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|