DUN Sabah tidak dibubarkan jika Parlimen bubar – Hajiji

DUN Sabah tidak dibubarkan jika Parlimen bubar – Hajiji

Sandakan: Kerajaan negeri tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah serentak dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ini kerana tempoh kerajaan negeri sekarang masih berbaki tiga tahun lagi sebelum cukup lima tahun.

Hajiji ketika berucap pada Jelajah GRS Batu Sapi di Sandakan.

Katanya, laporan pihak tertentu kononnya DUN Sabah akan turut dibubarkan jika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada tahun ini hanya satu khabar angin.

“Semua cakap-cakap itu tidak benar memandangkan kita masih mempunyai tiga tahun lagi untuk memerintah negeri ini,” katanya pada Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Batu Sapi di Kampung Lupak Meluas Darat, di sini, hari ini.

Hajiji bersama pemimpin lain GRS pada pelancaran Jelajah GRS Batu Sapi di Sandakan.

Hadir sama pemimpin semua parti komponen GRS, Ahli Majlis Tertinggi GRS, Datuk Mohd Arifin Arif dan Ketua GRS Batu Sapi, Firdaus Khan.

Esok, kerajaan GRS-Barisan Nasional (GRS-BN) meraikan ulang tahun kedua pembentukan kerajaan negeri selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada 26 September 2020.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, apa yang penting ialah usaha bagi mengukuhkan GRS sebagai sebuah gabungan yang mewakili rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah.

“Ada yang mendakwa PRU-15 diadakan pada Oktober ini dan ada yang kata akan diadakan pada tahun depan. Namun, apapun, tidak kira bila ia diadakan, GRS sudah bersedia.

Hajiji juga mendedahkan semua parti komponen GRS bersetuju menggunakan simbol GRS pada PRU-15 nanti.

Jelasnya, semua parti dalam GRS termasuk BERSATU Sabah dan STAR bersetuju untuk menggunakan simbol GRS pada pilihan raya.

“InsyaAllah, kita akan mendapat kemenangan pada PRU kali ini,” katanya.

Beliau berkata, GRS dan BN juga setuju bekerja bersama untuk membangunkan Sabah dan membawa kemajuan kepada raktyat.

Katanya, jika calon kerusi Parlimen Batu Sapi dipilih daripada GRS, BN juga akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan dan begitu juga sebaliknya, GRS akan bekerja keras untuk memastikan calon BN menang sejajar kedudukan kedua-duanya sebagai kerajaan GRS-BN.

“Kita mesti belajar daripada kesilapan politik masa lalu. Cukuplah, kita tidak boleh berpecah lagi.

“Kali ini kita berharap untuk bekerjasama sebaik yang mungkin dan memvawa Sabah ke hadapan seiring dengan slogan Sabah Maju Jaya,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri GRS-BN akan menyelesaikan semua isu yang menjejaskan rakyat di Batu Sapi seperti status penempatan setinggan.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun untuk meneliti isu itu dan mewartakannya sebagai rizab kampung jika dapat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|