Premis hiburan beroperasi tanpa lesen sah diserbu

Premis hiburan beroperasi tanpa lesen sah diserbu

Keningau: Tindakan sebuah premis hiburan di daerah ini, beroperasi tanpa lesen yang sah mengundang padah apabila diserbu polis, awal pagi tadi.

Serbuan jam 2.20 pagi menerusi Op Noda/ Operasi Pusat Hiburan dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Pegawai dan anggota polis menjalankan serbuan ke atas sebuah premis hiburan kerana beroperasi tanpa lesen yang sah.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, ketika serbuan dilakukan didapati muzik masih dimainkan dan pelanggan masih minum minuman keras di dalam premis berkenaan.

Katanya, seramai 33 pengunjung yang berada di dalam premis berkenaan iaitu terdiri daripada 16 lelaki dan 17 wanita diperiksa.

“Seterusnya seorang lelaki berusia lingkungan 20 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis itu ditahan kerana disyaki premis beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Beberapa peralatan muzik di premis berkenaan turut dirampas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Rafidah berkata, tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Ordinan Hiburan Awam.

“Polis ingin menegaskan agar pemilik premis mematuhi syarat lesen pusat hiburan yang ditetapkan dan patuhi masa operasi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|