Jari kanak-kanak tersekat pada nat besi

Jari kanak-kanak tersekat pada nat besi

Kudat: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan azab kesakitan lebih sejam selepas jarinya tersangkut pada nat besi, hari ini.

Kanak-kanak berusia lima tahun terbabit yang dihantar ke Hospital Kudat untuk mengeluarkan nat berkenaan gagal sehingga terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.49 pagi.

Katanya, sepasukan tiga anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke Hospital Kudat untuk membantu.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati nat besi berkenaan tersekat pada jari tengah kanak-kanak terbabit.

“Pasukan Bomba terus bertindak memotong nat besi berkenaan menggunakan peralatan khas dengan selamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan ringan di jari tengahnya yang sudah mula membengkak.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.42 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|