JAPEN erat hubungan dengan pengamal media Sabah

JAPEN erat hubungan dengan pengamal media Sabah

Kota Kinabalu: Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah yakin Program Kupi-Kupi Bersama Media yang dilaksanakan hari ini mampu menjadi wadah mengerat dan mengekalkan hubungan baik dengan pengamal media di negeri ini.

Pengarah JAPEN Sabah, Nadzerah Abdullah berkata, program santai yang berkonsepkan bual bicara bersama pengamal media adalah untuk menyelitkan mesej dasar dan pembangunan negara.

“Dalam konteks ini, mesej yang diketengahkan adalah berkaitan dengan dasar keselamatan negara selain sebagai wadah JAPEN dalam mengeratkan lagi serta mengekalkan hubungan baik bersama rakan-rakan media.

“Kami yakin dan percaya salah satu cara untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman dapat dimenifitasikan melalui kerjasama erat dan keakraban silaturahim JAPEN bersama rakan-rakan media,” katanya ketika berucap pada program itu di sini, hari ini.

Katanya lagi, negara ketika ini bukan hanya berdepan cabaran memperkukuhkan perpaduan dalam tradisi masyarakat majmuk, tetapi juga dari segi cabaran keterbukaan sumber maklumat tanpa sempadan.

“Masyarakat kini juga mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dalam pelbagai bidang, justeru kita dapat melihat lontaran pendapat secara lebih terbuka di media sosial khususnya.

“Dalam meraikan perbezaan pendapat, kita perlu sentiasa memegang prinsip bersatu teguh bercerai roboh agar pembinaan negara bangsa malaysia yang terhubung, bersatu padu, berilmu dan berintegriti, kekal berterusan.

“Di sinilah, kewartawanan memainkan peranan penting dalam masyarakat majmuk dan demokratik. Media memberikan laporan, perbincangan, pemberitahuan dan analisis dalam pelbagai perkara yang secara tidak langsung akan membentuk pola positif pemikiran masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, bagi memupuk ke arah itu, JAPEN sabah melaksanakan pelbagai program perpaduan dan kenegaraan sempena Bulan Kebangsaan/Hari Malaysia 2022 yang bertemakan ‘keluarga malaysia teguh bersama’.

“Objektif penganjuran program ini adalah untuk menggelorakan semangat patriotisme cintakan negara, memupuk semangat kebersamaan dalam perpaduan dan menggalakkan penglibatan sukarela masyarakat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|