Jangkaan berlaku hujan lebat, penduduk dinasihat berpindah

Jangkaan berlaku hujan lebat, penduduk dinasihat berpindah

Penampang: Penduduk di sekitar kawasan yang berisiko tinggi untuk dilanda banjir dinasihatkan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat ketika hujan lebat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk menyiapkan projek-projek tebatan banjir, termasuk dua yang sedang dijalankan di Penampang dan Putatan.

Jeffrey diberi taklimat situasi banjir di Penampang.

“Malangnya, kerja-kerja ini hanya akan siap dalam masa beberapa tahun dan kita menjangkakan bahawa keseluruhan kerja tebatan banjir akan siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun.

“Sementara itu, saya menggesa penduduk yang tinggal di sekitar kawasan berisiko tinggi berlaku banjir untuk membuat perancangan berpindah ke kawasan lain semasa hujan lebat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika melawat ke Pusat Kebudayaan Penampang, semalam di mana seramai 13 keluarga ditempatkan buat sementara waktu susulan rumah mereka dilanda banjir akibat hujan lebat pada Ahad.

Dalam pada itu, Jeffrey menasihati penduduk yang berada di kawasan rendah untuk sentiasa peka terhadap kenaikan paras air sungai.

Katanya, pemilik tanah juga disarankan untuk mengelak daripada membina rumah mereka berhampiran dengan sungai yang berisiko untuk banjir.

“Musim hujan baru bermula dan menurut Jabatan Meteorologi, lebih banyak hujan dijangka sebelum akhir tahun ini.

“Cuaca semakin tidak menentu kerana kesan perubahan iklim. Marilah kita bekerjasama untuk mengelakkan kerugian harta benda,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau turut diberi taklimat mengenai keadaan banjir di daerah berkenaan oleh Pegawai Daerah, Francis Chong di pusat bencana alam daerah dan langkah-langkah yang diambil bagi membantu mangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|