50 ahli UPKO Sipitang sertai UMNO

50 ahli UPKO Sipitang sertai UMNO

Sipitang: Seramai 50 orang bekas ahli Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bahagian Sipitang menyertai UMNO, di sini, baru-baru ini.

Borang kemasukan ahli yang diketuai oleh bekas Timbalan Ketua Bahagian UPKO Sipitang, Singa Libat diserahkan kepada Ketua UMNO Sipitang, Datuk Kamarlin Ombi.

Kamarlin mengalu-alukan kemasukan bekas ahki UPKO Sipitang yang menyertai UMNO.

Turut menyaksikan majlis penyerahan borang keahlian itu ialah Naib Ketua UMNO Sipitang, Jaini Puasa; Setiausaha UMNO Sipitang, Abdul Rahman Mohd Noh dan Ketua Wanita UMNO Sipitang, Amuilin Junsin.

Terdahulu ketika berucap mengalu-alukan penyertaan kumpulan tersebut ke dalam UMNO, Kamaralin berkata parti itu masih sebuah wadah politik terbaik yang mampu mengemudi jentera pentadbiran dan menjaga kestabilan politik negara.

Singa mewakili bekas ahli UPKO Sipitang yang menyertai UMNO.

Katanya, walaupun UMNO berdepan dengan pelbagai cabaran masa kini dan pernah mengharugi krisis dalaman, namun ia terus wujud sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Bumiutera sehingga kini.

Menurut Kamarlin, sejarah UMNO telah membuktikan bahawa parti itu adalah wadah politik yang paling berjaya kerana disulami roh dan semangat perjuangan yang tulen walaupun diuji dengan pelbagai cabaran.

“Kita yakin dan percaya bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah wadah politik yang berupaya mengembalikan kegemilangan negara,” katanya.

Menurutnya lagi, rakyat telah melalui pengalaman dua kerajaan terdahulu iaitu Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dan Pakatan Nasional (PN) selama 18 bulan bukan sahaja gagal melaksanakan manifesto yang dijanjikan dalam PRU-14, malah gagal membentuk kestabilan politik sehingga menjejaskan ekonomi negara.

“Dalam usaha kita mendirikan semula keruntuhan yang berlaku dan memberikan nafas baharu kepada citra negara, kecekalan, kesungguhan, kemampuan dan keyakinan perlu ada pada setiap daripada kita dan juga rakyat yang mengharapkan pembelaan daripada UMNO dan BN,” katanya.

Sementara itu, Singa Libat yang mengetuai kemasukan kumpulan UPKO Sipitang menyertai UMNO menyatakan keyakinan mereka terhadap kemampuan parti itu membawa kemakmuran negara dan kestabilan politik.

“Kita yakin hanya UMNO/BN yang mampu membawa pembangunan dan kemakmuran negara, sejarah membuktikan perjuangan UMNO dari menuntut kemerdekaan sehingga negara merdeka dari penjajahan banyak transformasi pembangunan negara dilakukan, dan kebajikan rakyat turut diutamakan tidak terkecuali rakyat di negeri ini turut merasai nikmatnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|