Jangan main sentimen kebencian dalam berpolitik – Yakub

Jangan main sentimen kebencian dalam berpolitik – Yakub

Kota Kinabalu: Semua pihak diingatkan supaya tidak melontarkan sentimen kebencian dalam berpolitik demi meraih sokongan rakyat.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, sebaliknya usaha perlu ditumpukan untuk merapatkan jurang dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar semua pihak berganding bahu dalam usaha untuk memartabatkan nama negara.

“Sepatutnya kita berusaha untuk merapatkan jurang, sama ada agama, kaum, negeri, atau wilayah.

“Sepatutnya kita memainkan peranan untuk merapatkan jurang ini, barulah kita sebagai sebuah negara yang rukun, negara yang aman,” katanya ketika ditanya strategi untuk meyakinkan rakyat Sabah ketika sentimen tolak parti luar semakin meningkat.

Terdahulu, Yakub yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hadir merasmikan Program Forum Memperkasakan Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) di Sky Hotel, hari ini.

Katanya, penganjuran forum tersebut mengambil kira keadaan semasa dalam memperkasakan budaya suku kaum di negeri ini.

“Namun, ianya bukan berniat untuk kita memisahkan antara sesuatu kaum dengan kaum lain, tapi budaya di Sabah ini, rakyat kita majmuk dan berbagai kaum serta fahaman agama.

“Kita gunakan budaya ini untuk kita memperkasakan kaum dan hubungan silaturahim yang sudah sedia terjalin di kalangan kita agar ianya menjadi satu contoh kepada negeri-negeri lain mahupun di seluruh dunia,” katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Raime Unggi, yang juga antara panel dalam forum itu berkata, usaha berkenaan akan diteruskan lagi ke kawasan-kawasan lain pada masa akan datang.

“Kita akan cuba untuk memperluaskan program seumpama ini, sama ada bergerak dalam kelompok yang dinamakan KDMR atau bersama-sama dengan agensi kerajaan, untuk memberi pendedahan.

“Selain itu, ia juga untuk melihat bagaimana peluang daripada sudut ekonomi, sosial, bahasa dan macam-macam lagi,” katanya

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|