Jambatan gantung rosak akan dibina dalam masa terdekat – Harun

Jambatan gantung rosak akan dibina dalam masa terdekat – Harun

Pitas: Jambatan gantung yang menjadi penghubung utama penduduk 30 kampung, di sini dan rosak akibat banjir pada bulan lalu akan dibina semula dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, Harun Durabi berkata, perkara itu sudah dibawa ke peringkat kerajaan negeri untuk mendapatkan kelulusan bagi pembinaan segera.

Harun (hadapan kanan) ketika meninjau jambatan gantung yang rosak akibat banjir untuk dibina semula bagi memudahkan penduduk melaluinya.

Katanya, pembinaan jambatan gantung itu adalah keperluan mendesak bagi penduduk di kawasan beliau terutama murid yang kini terpaksa berulang alik menaiki bot menyeberangi Sungai Bengkoka.

“Ketika ini jambatan gantung untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Dandun memang tidak boleh dilalui dan murid sekolah terpaksa bergantung dengan bot untuk menyeberangi sungai.

Harun (tengah) menaiki bot di Sungai Bengkoka bagi meninjau keadaan jambatan gantung yang rosak dilanda banjir sebelum ini.

“Jadi perkara ini sudah saya maklumkan kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) dan hari ini juga saya akan bertemu dengan beliau supaya pembinaan jambatan gantung dipercepatkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, jambatan gantung itu sangat diperlukan oleh penduduk di kawasan beliau kerana bukan saja untuk murid ke sekolah tetapi juga jalan penghubung utama bagi penduduk untuk ke klinik dan sebagainya.

“Saya berharap sangat ia dapat dibina dengan cepat supaya penduduk boleh ke klinik yang juga terletak di Kampung Dandun.

“Perkara ini sebenarnya sudah lama diutarakan kepada pihak berkaitan kerana jambatan ini pun sudah usang berusia hampir 20 tahun namun kerosakan akibat banjir pada Januari lalu menyebabkan pembinaan jambatan gantung sangat diperlukan,” katanya.

Beliau dalam pada itu memohon ibu bapa serta penduduk dapat bersabar sementara pembinaan jambatan gantung itu akan dimulakan tidak lama lagi.

Jumaat lalu, penduduk di lima kampung iaitu Kampung Bilangau Besar, Kampung Sapatalang, Kampung Salung kapit, Kampung Mandurian Laut dan Kampung Kobon merayu supaya jambatan gantung sepanjang lebih 90 meter itu dibaiki semula bagi memudahkan 58 murid yang bersekolah di SK Dandun melaluinya.

Ketika ini, kesemua murid berkenaan terpaksa berulang alik ke sekolah dengan menaiki bot dan dikenakan tambang RM2 untuk setiap seorang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|