200 kotak minuman keras tidak bercukai dirampas

200 kotak minuman keras tidak bercukai dirampas

Beluran: Sebuah van bersama dua lelaki ditahan selepas didapati membawa lebih 200 kotak minuman keras tidak bercukai dalam operasi di Jalan Nangoh-Paitan, Kanibungan, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 4.50 petang itu, minuman keras yang dipercayai diseludup masuk itu dikesan dalam operasi pemantauan Op Khas Tiger Platoon, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran.

Minuman keras yang dirampas oleh anggota PGA Batalion 20 Beluran dalam Op Khas di Jalan Nangoh-Paitan, Kanibungan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, semua minuman keras berkenaan dibawa menggunakan van Toyota Hiace oleh dua suspek.

Katanya, minuman keras yang dirampas adalah jenama Netherlands Huster Light Ice Beer dan semua dianggarkan bernilai RM58,278 selepas cukai.

“Kedua-dua suspek yang ditahan adalah rakyat tempatan berusia 31 tahun itu dan dipercayai berasal dari daerah Keningau.

“Kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Rani berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk ienderaan van yang digunakan dianggarkan bernilai RM138,278 berdasarakan harga pasaran semasa.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|