Jahid tiba-tiba tidak sihat ketika rasmi CSR Yayasan PETRONAS

Jahid tiba-tiba tidak sihat ketika rasmi CSR Yayasan PETRONAS

Kota Kinabalu: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim dilaporkan dikejarkan ke hospital selepas tiba-tiba kelihatan tidak sihat ketika sedang berucap pada program Yayasan PETRONAS di Pitas, pagi tadi.

Beliau dibawa ke Hospital Pitas untuk diberikan rawatan kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH), di sini, untuk rawatan lanjut, petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu bagaimanapun dilaporkan dalam keadaan stabil.

Difahamkan, ketika kejadian, Jahid, 64 sedang berucap untuk menyempurnakan Majlis Penyerahan Sistem Bekalan Air di bawah program MEKAR Sabah@Pitas oleh Yayasan PETRONAS di Dewan Serbaguna Mengkapon Darat, Pitas.

Betikutan kejadian itu, ada yang menyebarkan spekulasi mengatakan Jahid diserang angin ahmar dan meminta orang ramai mendoakan kesihatannya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata beliau dimaklumkan Jahid terlalu keletihan dan memerlukan rehat.

“Dia dalam keadaan stabil. Ketika kejadian dia berada di Pitas untuk merasmikan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) PETRONAS. Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Pitas untuk pemantauan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|