Jadikan TransKoM rujukan utama dalam transformasi gerakan koperasi – Hajiji

Jadikan TransKoM rujukan utama dalam transformasi gerakan koperasi – Hajiji

Kota Kinabalu: Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM) akan dijadikan sebagai rujukan utama dalam usaha mentransformasi dan memperkasa gerakan koperasi, khususnya di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif yang dirangka dalam TransKoM dijangka berupaya menjadikan koperasi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi Malaysia yang seimbang, inklusif, progresif dan mampan.

Menurutnya, selain dari peningkatan sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), turut disasarkan peningkatan bilangan koperasi menceburi bidang pertumbuhan baharu.

“Penganjuran konvensyen ini tepat pada waktunya untuk mendapat maklumat dan membentuk muafakat selain mewujudkan rangkaian perniagaan atau ‘business networking’ dalam kalangan koperasi dan peserta.

“Statistik gerakan koperasi setakat bulan Julai 2022 menunjukkan terdapat sebanyak 14,834 buah koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia dengan jumlah keanggotaan seramai 7.1 juta.

“Di negeri Sabah sendiri setakat 31 Disember 2021, terdapat sebanyak 1,652 buah koperasi dengan keanggotaan seramai 339,000 orang.

“Ini jelas menunjukkan terdapat potensi rangkaian perniagaan yang sangat luas dalam ekosistem koperasi sendiri yang boleh digunakan oleh koperasi memasarkan produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Keusahawanan Koperasi: Memacu Pertumbuhan Ekonomi Negara, hari ini.

Teks ucapan beliau telah disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Dalam pada itu, Hajiji mahu lebih banyak gerakan koperasi di Sabah mencapai kejayaan yang boleh dicontohu, termasuk berganding bahu bersama kerajaan dan sektor swasta dalam meningkatkan ekonomi negeri ini.

Katanya, gerakan koperasi di Sabah diminta untuk memperkasakan diri, meningkatkan daya saing, merebut peluang ekonomi yang tersedia, bekerjasama dan bekerja keras untuk membuat perubahan ke arah transformasi Sabah.

“Kerajaan negeri yang mengamalkan mesra pelabur sudah pasti turut memberi kesan positif dan peluang kepada koperasi di negeri ini.

“Sehingga bulan September lalu, Sabah berjaya memperolehi sejumlah RM12 bilion pelaburan asing dan RM942 juta pelaburan domestik dalam tempoh dua tahun.

“Justeru, saya mahu melihat dan mendengar lebih banyak cerita kejayaan dan teladan yang boleh dicontohi baik dari koperasi bandar mahupun luar bandar, dari kluster yang besar hinggalah ke kluster mikro,” katanya.

Beliau berkata, di Sabah, antara contoh koperasi berjaya seperti Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan Berhad (KOPEL) yang membangunkan sosioekonomi komuniti melalui aktiviti pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

“Selain itu, antara contoh lain ialah Koperasi Kampung Magatang Keningau Berhad sebuah koperasi luar bandar yang berjaya menjalankan aktiviti pemborongan dan peruncitan yang membantu akses penduduk kepada perkhidmatan dan barangan keperluan harian secara tetap dan berterusan pada harga yang berpatutan,” katanya lagi.

-Deasoka

Share

Written by:

error: Content is protected !!