Anwar individu tepat terajui Malaysia

Anwar individu tepat terajui Malaysia

Kota Kinabalu: Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 adalah pilihan tepat dan selaras dengan suara hati rakyat di negara ini secara umumnya.

Kemampuannya dalam berdepan pelbagai cabaran selama ini jelas membuktikan kepimpinan yang dibawa beliau amat diperlukan Malaysia ketika ini.

Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook berkata, Anwar sememangnya layak dilantik sebagai Perdana Menteri dengan kemenangan kerusi terbanyak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Datuk Wong Thien Fook

Katanya, beliau seorang pemimpin yang berkelayakan tinggi dan berwibawa serta berpengalaman sangat luas dalam bidang pentadbiran dan politik.

“Saya percaya beliau mampu membawa negara ke tahap yang lebih tinggi, namun apa yang paling penting adalah Kabinet yang bakal dirangka bersih dan berdaya saing dalam mengembalikan kegemilangan negara.

“Datuk Seri Anwar juga merupakan ikon dunia yang sangat dihormati dan dikenali ramai. Ia boleh membantu dalam meningkat ekonomi dengan menarik pelaburan masuk ke negara ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Thien Fook berkata, komitmen Anwar dalam membangunkan negara ini juga pastinya dapat mengatasi jurang pembangunan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

“Anwar adalah pemimpin paling berpengalaman untuk membawa negara keluar daripada krisis dan ketidakstabilan politik serta ekonomi.

“Beliau juga dilihat mampu mengembalikan reputasi dan kepercayaan dunia termasuk menarik lebih ramai pelabur serta menyusun atur kewangan negara sebaiknya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|