Era baharu Malaysia di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim – Ewon

Era baharu Malaysia di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim – Ewon

Penampang: Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menyifatkan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 Malaysia menjadi permulaan era baharu negara ini.

“Sebagai bakal Presiden UPKO, saya mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 pada hari ini selepas dimuktamadkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

“Negara Malaysia sememangnya memerlukan seorang pemimpin yang boleh menguruskan masalah ekonomi yang sedang dihadapi sekarang, dan seterusnya melaksanakan agenda reformasi dalam tadbir urus kerajaan. Kepimpinan itu ada pada Anwar.

“Saya juga mengalu-alukan Kerajaan Perpaduan yang bakal dibentuk dapat merangkumi penyertaan semua parti, kaum dan wilayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian juga berharap dapat bekerjasama dengan Anwar dalam melaksanakan agenda-agenda PH khususnya untuk rakyat Sabah, terutama pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sebagai salah seorang Presiden parti komponen PH yang akan duduk bersama dengan Anwar, sudah tentunya akan menjadi tanggungjawab saya memastikan penunaian agenda PH untuk rakyat Sabah sepertimana dinyatakan dalam Tawaran ‘Kita Boleh’ Pakatan Harapan bagi PRU-15. Ini terutamanya pelaksanaan hak 40 peratus Sabah ke atas hasil persekutuan di Sabah yang sangat diperlukan untuk pembangunan rakyat,” katanya.

Menurut Ewon, parti UPKO juga akan mencadangkan kepada Anwar penyertaan parti dalam Kabinet perpaduan Kerajaan Persekutuan yang akan ditubuhkan.

“Perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO yang telah diadakan hari ini dan pihak parti akan memaklumkan kepada Datuk Seri Anwar cadangan-cadangan daripada parti agar kami dapat memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda PH untuk rakyat Sabah, khususnya dan Malaysia, amnya,” katanya.

Ewon turut menyatakan akan mendapatkan sokongan dan komitmen Anwar sebagai Perdana Menteri bagi menjayakan pembangunan dan penyelesaian masalah rakyat di Penampang dan Kadamaian.

“Sepanjang tempoh berkempen, saya telah mendengar banyak permasalahan rakyat, cadangan-cadangan dan aspirasi-aspiras daripada rakyat Penampang. Sebahagiannya memerlukan sokongan dan komitmen daripada Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Saya akan memastikan beliau komited untuk membantu rakyat Penampang dan juga rakyat Kadamaian, selain daripada rakyat Sabah secara amnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|