Isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan antara dibincang dalam Forum Hak Kanak-Kanak

Isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan antara dibincang dalam Forum Hak Kanak-Kanak

Kota Kinabalu: Seramai 213 peserta dari seluruh negara menyertai Forum Hak Kanak-kanak Peringkat Kebangsaan 2022 anjuran Kelab Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Forum itu yang diadakan secara dalam talian, antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai definisi, jenis, kepentingan, dan isu-isu semasa berkaitan hak kanak-kanak.

Antara peserta yang hadir pada Forum Hak Kanak-kanak Peringkat Kebangsaan 2022 anjuran UMS yang diadakan secara dalam talian.

Ia juga membincangkan sejauh mana keberkesanan akta dan undang-undang dalam menjamin hak kanak-kanak.

Dengan tema ‘The Best Interest for the Child’, forum itu menampilkan pakar Undang-undang Keluarga, Wanita, dan Kanak-kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Seorang lagi ahli panel jemputan ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Mazlina Che Mustafa.

Noor Aziah berkata, sejak Malaysia memeterai Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak pada Februari 1995, pelbagai dasar dan undang-undang digubal untuk menjamin hak kanak-kanak, termasuk Akta Kanak-kanak 2001.

“Bagaimanapun, hak kanak-kanak di Malaysia belum terjamin sepenuhnya kerana terdapat beberapa perkara atau isu yang tidak diambil berat oleh kerajaan Malaysia, misalnya kanak-kanak tanpa kewarganegaraan (stateless child).

“Masalah ini wujud akibat daripada kanak-kanak yang terbiar atau dibuang, kanak-kanak daripada ibu bapa yang gagal mendaftarkan perkahwinan atau tidak mempunyai sijil nikah, kanak-kanak pelarian, dan kanak-kanak tanpa negara.

“Saya berpendapat kanak-kanak tanpa kewarganegaraan wajar diberikan dokumen sementara supaya maklumat mereka dapat direkodkan dan mereka mudah dijejaki,” katanya.

Bagaimanapun, Noor Aziah menegaskan, dokumen sementara itu bukan bermaksud untuk memberikan mereka kewarganegaraan Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya mengiktiraf mereka sebagai kanak-kanak yang sah dan mempunyai hak untuk mendapat perlindungan, kesihatan, dan pendidikan yang sepatutnya.

“Dalam jangka masa panjang, langkah ini dapat mengurangkan jenayah sosial dalam komuniti setempat kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan dan kesedaran mengenai perkara yang baik dan buruk.

“Seterusnya, kanak-kanak ini dapat memberi impak positif kepada negara kita, misalnya apabila mereka dewasa kelak, mereka boleh menjadi tenaga buruh yang sah, sama seperti tenaga buruh asing yang kerajaan bawa dari negara-negara luar.

“Ini lebih menguntungkan kepada negara kita, bukan sahaja dapat mengurangkan kos, malah mereka lebih mudah berkomunikasi dan berhubung dengan kita kerana mereka telah tahu banyak mengenai adat resam, budaya, bahasa, dan agama kita,” katanya.

Sementara itu, Mazlina pula menekankan pentingnya pendidikan seks diberikan kepada kanak-kanak sejak di peringkat awal usia lagi.

“Ini kerana banyak kes penderaan seksual yang berlaku terhadap kanak-kanak di negara kita sama ada kes sumbang mahram mahupun kes rogol.

“Kanak-kanak perlu diajar mengenai anggota tubuh lelaki dan perempuan, cara sentuhan selamat, sentuhan tidak selamat dan sentuhan tidak selesa serta cara menjaga keselamatan diri.

“Sememangnya perkara ini telah diajar kepada kanak-kanak Tadika berumur lima hingga enam tahun melalui Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS), namun ia masih perlu ditekankan dengan lebih baik lagi, dan boleh diajar kepada kanak-kanak sejak mereka berumur empat tahun ke bawah lagi,” katanya.

Forum yang berlangsung selama dua jam itu dirasmikan Dekan FPP UMS, Prof Dr Murnizam Halik.

Hadir sama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPP, Dr Roslee Talip; Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPP, Dr Dg Norizah Ag Kiflee @ Dzulkifli dan Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP, Dr Connie Shin @ Connie Cassy Ompok.

Turut hadir ialah Penasihat Kelab Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP UMS, Dr Nur Suhaidah Sukor, dan Penasihat Program, Dr Juppri Bacotang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|