Masyarakat pesisir pantai perlu bekerjasama salur maklumat kepada pasukan keselamatan

Masyarakat pesisir pantai perlu bekerjasama salur maklumat kepada pasukan keselamatan

Kudat: Penduduk di kawasan pantai timur negeri ini terutama di sekitar pesisir pantai perlu untuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan dalam usaha memastikan tahap keselamatan dan keamanan setempat terus terpelihara.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan negara tidak hanya terletak kepada pasukan keselamatan semata-mata.

Hamzah mengagihkan daging korban kepada salah seorang penduduk.

Sebaliknya katanya, ia perlu digalas bersama dan sudah menjadi tanggungjawab semua pihak di negeri ini untuk membantu.

“Masyarakat yang tinggal di sekitar pesisir pantai daerah ini boleh memainkan peranan bagi memelihara keselamatan komuniti setempat dengan melaporkan sebarang aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara.

Hamzah merakamkan gambar kenangan bersama penduduk Tanjung Kapor di sini.

“Setiap maklumat boleh disalurkan kepada pihak ESSCOM atau mana-mana pasukan keselamatan yang berhampiran dengan kawasan masing-masing,” katanya ketika berucap pada Program Ibadah Korban ESSCOM di Mukim Tanjung Kapor, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Dr Jamaluddin Mohd Ali, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjong Kapor Norlizah Gurahman, wakil Pegawai Daerah Kudat Sahar Unggat, Brig Jen Azhar Tahir, Laksma (M) Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, Brig Jen Norazman Samion TUDM serta Senior Asisten Komisioner M Chandra.

Hamzah berkata, ESSCOM ditubuhkan untuk mengekang dan membanteras anasir luar dan penjenayah rentas sempadan khususnya di sempadan daratan dan perairan pantai timur Sabah.

Namun katanya, ESSCOM akan turut melaksanakan inisiatif untuk melonjakkan tahap kesejahteraan bagi masyarakat pantai timur Sabah.

“ESSCOM turut berhasrat untuk memastikan masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) dapat menjalankan aktiviti harian dengan penuh rasa yakin.

“Ia selaras hasrat Kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan negara.

“Dengan moto ‘Bersama-sama Menjana Kesejahteraan’, ESSCOM sentiasa memperbaharui iltizam untuk berganding bahu dengan masyarakat bagi memastikan keselamatan di ESSZone kekal terjamin dan terkawal,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut berkenaan program yang diadakan itu, Hamzah berkata, terdapat lebih 250 penduduk sekitar Tanjong Kapor terlibat dalam menjayakannya meskipun dianjurkan pada hari bekerja.

Katanya, beliau difahamkan ramai penduduk yang ingin bersama menjayakan program itu namun tidak berkesempatan disebabkan terikat dengan komitmen sedia ada.

“Justeru, adalah menjadi harapan saya supaya segala maklumat yang disampaikan oleh ESSCOM dapat dijadikan panduan oleh semua yang hadir dan turut dipanjangkan kepada warga Mukim Tanjong Kapor yang lain,” katanya.

Hamzah berkata, kejayaan program itu akan menjadi pembakar semangat kepada ESSCOM untuk menganjurkan lebih banyak lagi program bersama masyarakat.

Katanya, program seumpama adalah penting bagi memastikan semua pihak sedar akan kepentingan memupuk kerjasama erat antara pasukan keselamatan dan masyarakat demi memelihara keamanan di ESSZONE.

“Kita amat menggalakkan masyarakat pantai timur Sabah supaya terus membabitkan diri dan menyokong program yang dianjurkan ESSCOM pada masa akan datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|