Isu jeti tidak selamat pernah disuarakan kepada majlis daerah – PPM Bugaya

Semporna: Kebimbangan mengenai keadaan jeti yang tidak selamat di daerah ini berikutan pembinaannya tidak mengikut piawaian ditetapkan pernah disuarakan pada mesyuarat Majlis Daerah Semporna.

Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Bugaya, Abdul Hussin Kiamsin, berkata pihaknya sudah mengajukan perkara itu sebelum kejadian pondok jeti runtuh di Kampung Gading-Gading, di sini yang mengorbankan dua remaja pada Isnin lalu.

Beliau berkata, pembinaan jeti perlu diselia pihak berwajib bagi memastikan kemudahan itu mematuhi semua ciri keselamatan yang ditetapkan.

“Dalam mesyuarat Majlis Daerah pada bulan lalu saya sudah suarakan agar semua jeti yang ada di pekan Semporna khususnya diselia sebab kita tidak mahu orang membina jeti tanpa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya.

“Sebabnya ia akan menimbulkan masalah dan sudah terbukti pada Hari Raya pertama seramai lapan orang anak-anak di Kampung Gading-Gading terlibat dalam kemalangan jeti runtuh yang menyebabkan seramai dua orang maut,” katanya, di sini.

Katanya, susulan kejadian itu juga satu mesyuarat bersama Ketua Armada diadakan untuk mendesak pihak berwajib mengambil tindakan segera memastikan setiap jeti di daerah ini diselia bagi mengelak perkara sama berulang.

“Saya bersama Ketua Armada dan Ketua Srikandi muda yang ada di dini berbincang daripada pagi tadi supaya perkara ini dibawa kepada pengetahuan ketua bahagian untuk disampaikan kepada pihak yang berwajib agar semua jeti yang dibina di setiap kampung mendapat seliaan pihak berwajib,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyampaikan bantuan wang tunai kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk diagihkan kepada lapan mangsa terlibat termasuk waris yang meninggal dunia akibat kejadian itu.

Sementara itu, Pengerusi JPKK, Tariq Aziz Tampak, berkata penambahbaikan lantai jeti yang dilakukan dengan menggunakan simen oleh pendudum kampung antara faktor kejadian itu berlaku.

“Mungkin kerana simen atas itu terlalu berat dan tiang di bawah tidak dapat menampung simen yang di atas itulah berlakunya pondok jeti runtuh. Lantai pondok jeti itu baru disimen awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, jeti itu sangat penting kepada kira-kira 300 penduduk Kampung Gading-Gading yang menggunakan jeti berkenaan.

Pada petang Isnin lalu, sebuah pondok jeti di Kampung Gading-Gading, di sini, runtuh ketika sekumpulan lapan remaja berumur 11 hingga 19 tahun berada di atas jeti berkenaan menyebabkan dua daripadanua maut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|