Kinabatangan: Sabah menunggu peruntukan sebanyak RM265 juta dari kerajaan Pusat bagi membaiki jalan rosak di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata peruntukan itu bakal menyelesaikan masalah jalan rosak yang menimbulkan ketidakselesaan kepada rorang ramai.
Beliau berkata, pihaknya sudah berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berhubung permohonan peruntukan itu.
Jelasnya, peruntukan itu akan digunakan sepenuhnya untuk membaiki kerosakan jalan yang rosak agar dapat digunakan dengan lebih selesa.
“Saya sudah berjumpa dengan Perdana Menteri semalam memaklumkan permohonan Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah sebanyak RM265 juta untuk membaiki jalan raya rosak di Sabah.
“Peruntukan itu untuk memudahkan kerja menutup lubang yang teruk dan menyelenggara jalan raya yang mengalami kerosakan,” katanya pada sidang media sempena majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata masalah jalan raya rosak yang dialami ketika ini akan selesai sepenuhnya apabila Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang dibina siap dalam masa dua tahun setengah.
Bagaimanapun, katanya jalan raya sedia ada yang digunakan ketika ini tetap dibaiki demi keselesaan pengguna jalan raya di Sabah.
Isu jalan raya rosak di Sabah hangat diperkatakan dalam media sosial sejak kebelakangan ini dengan ada menyamakan keadaan jalan raya di negeri ini seperti permukaan bulan kerana berlubang-lubang.
-Deasoka