PEJUANG belum putuskan kaedah kerjasama menjelang PRU-15

Kota Kinabalu: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) belum memutuskan kaedah kerjasama yang akan dilakukan dengan parti lain menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, setakat ini pihaknya berada pada peringkat perbincangan berhubung perkara itu dan masih belum sampai ke tahap rundingan.

Mukhriz bersama kepimpinan PEJUANG Sabah pada Program Pemukiman PEJUANG Sabah, di Kota Kinabalu.

“Jadi saya kira semua faham bahawa ada beberapa cara perkara ini boleh berlaku. Salah satunya adalah untuk mewujudkan gabungan seperti mana yang telah dibuat pada PRU-14 lalu atau satu pakatan politik semata-mata untuk mengurangkan pertindihan semasa pilihan raya.

“Jadi dua pendekatan ini belum lagi diputuskan dan dengan siapa pun belum kita putuskan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Pemukiman PEJUANG Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan kerjasama dengan parti lain menjelang PRU-15 terutama di Sabah ketika ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun menegaskan bahawa mereka lebih mengutamakan kerjasama dengan parti yang boleh berkongsi prinsip dengan PEJUANG.

“Yang paling penting bagi kami, siapa juga yang kita mahu pupuk kerjasama mestilah berkongsi prinsip. Jadi kalau ada prinsip tertentu yang bertentangan, itu kita akan jadikan satu faktor dalam kami membuat keputusan.

“Kami terbuka untuk berbincang dengan parti lain baik yang besar yang berkaitan kerajaan mahupun yang kecil-kecil yang belum pernah bertanding, kita terbuka dalam hal itu,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai sasaran kerusi untuk PRU-15, Mukhriz berkata, perkara itu sedang melalui proses perbincangan di peringkat parti.

“Buat masa ini, bukan hanya di Sabah tetapi di seluruh negara kita perlu melalui satu proses yang agak menyeluruh berkaitan dengan jumlah kerusi yang nak bertanding, di mana, apa kekuatan kita di kawasan-kawasan itu sebelum kita membuat sebarang pengumuman.

“Seperti mana yang parti lain, saya kira antara kriteria yang paling penting adalah jumlah keahlian, berapa ramai terlatih untuk menghadapi pilihan raya, adakah kita mempunyai tokoh yang boleh kita calonkan dan kebarangkalian untuk kebolehmenangan kita di situ. Jadi semua perkara ini akan kita pertimbangkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|