Isu aset tentera usang perlu diselesaikan secara muafakat

Isu aset tentera usang perlu diselesaikan secara muafakat

Kota Kinabalu: Tiga elemen utama membabitkan Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan pengguna akhir aset ketenteraan perlu sepakat dalam menentukan keutamaan pembangunan keselamatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussien Onn berkata, ketiga-tiga entiti ini mesti selari dalam memilih keutamaan yang perlu diberikan disamping menjaga kebajikan warga tentera.

Katanya, ini adalah salah satu kaedah dalam menyelesaikan isu aset pertahanan usang yang dihadapi ketika ini.

“Kita tidak boleh cakap pasal aset hari ini, tetapi pada masa yang sama kita perlu cari berbillion ringgit untuk bina rumah dan juga hospital tentera kita.

“Cakap pasal tentera, berapa puluh sekolah diperlukan untuk anak-anak kita dan pembiayaan ke arah itu pun mesti dibincangkan,” katanya pada sidang media dalam lawatan ke Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, kestabilan negara juga adalah faktor utama yang menyumbang kepada keberhasilan perancangan kerajaan khususnya dalam menyelesaikan isu aset ketenteraan secara menyeluruh.

“Isu penyelenggaraan, kita mempunyai aset banyak pun tetapi tidak ada duit untuk ‘maintenance’, tak ada duit untuk menyelenggara aset kita, maka aset yang ada pun tidak akan bermakna.

“Jadi apa pendekatan yang kita nak lakukan ini mesti secara menyeluruh dan segala-galanya berkisar kepada kestabilan.

“Kalau negara kita ni stabil, senang untuk kita membuat perancangan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|