Iktiraf kementerian, jabatan yang berjaya jimat perbelanjaan

Iktiraf kementerian, jabatan yang berjaya jimat perbelanjaan

Kota Kinabalu: Bekas Menteri Muda dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran mencadangkan agar setiap Kementerian dan Jabatan diberi pengiktirafan apabila dapat menjimatkan perbelanjaan setiap tahun.

Beliau berkata, mereka juga tidak diwajibkan harus mengikut bajet tahunan yang diluluskan.

“Dalam keadaan dimana segala urusan dan urus tadbir pejabat tidak terjejas dan mencapai matlamat yang disasarkan, walaupun bajet masih ada baki.

“Tidak seharusnya jabatan dan kementerian berkenaan perlu menghabiskan baki peruntukan yang ada untuk menunjukkan mereka lebih cekap dan berhemah berbelanja.

“Dalam keadaan tertentu, peruntukan yang telah diberikan gagal digunakan sepenuhnya kerana pelbagai sebab seperti terlebih anggar, masalah tender, bekalan yang tidak menepati jadual, dan lain-lain sebab.

“Justeru, mana-mana Kementerian dan Jabatan yang boleh membuat penjimatan daripada bajet tahunan hendaklah mengembalikan semula lebihan bajet yang tidak dibelanjakan kepada Kerajaan.

“Dalam kes demikian, Kementerian dan Jabatan tersebut harus dianggap lebih cekap dan berhemah berbelanja dan bukan sebaliknya, seperti kebiasaanya berlaku dalam Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, penjimatan perbelanjaan juga boleh dilakukan dengan tidak membenarkan lagi pindahan Vot Kepala/Sub Kepala anggaran peruntukan kepada Vot Kepala/Sub-Kepala lain.

Menurutnya, ini dapat mengelakkan berlakunya sikap berbelanja yang tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

“Ukuran pencapaian perbelanjaan yang baik atau memuaskan harus diukur dari kecekapan melaksanakan program atau projek yang telah ditetapkan mengikut anggaran tahunan, melainkan dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan.

‘Dengan demikian, Kerajaan dapat mengawal dan membendung perbelanjaan yang tidak perlu dan mengelak jabatan-jabatan dari perlu menghabiskan peruntukan yang telah diperuntukkan,” katanya.

Dalam pada itu, Sylvester berkata, saranan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim agar budaya lama, dimana perolehan Kerajaan tanpa tender, termasuk rundingan terus atau “selective tender” diberhentikan, akan memperkukuhkan lagi penjimatan kewangan Kerajaan.

“Kita berharap ini mampu dilaksanakan di semua peringkat Kerajaan, bermula daripada Kementerian, Jabatan Persekutuan sehinggalah ke peringkat daerah,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|