Seorang maut, 6 cedera kemalangan dua kenderaan

Seorang maut, 6 cedera kemalangan dua kenderaan

Tawau: Seorang lelaki maut, manakala enam cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Nasip Kita, di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.33 petang.

Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Katanya, sepasukan tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Proton Iswara bertembung dengan Toyota Hilux dan terdapat tujuh mangsa dilaporkan terbabit iaitu dua mangsa dari Proton Iswara dan lima mangsa dari kenderaan Toyota Hilux.

“Seorang mangsa lelaki berusia 39 tahun dari kereta Proton Iswara disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan seorang lagi mangsa dari kereta sama cedera dan dihantar ke hospital oleh ambulans,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, lima lagi mangsa dari kenderaan Toyota Hilux dihantar ke hospital oleh pihak ambulans dan EMRS.

“Maklumat semua mangsa tidak diperoleh dan mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba seterusnya melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.42 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|