Ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan kukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia

Ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan kukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia

Tawau: Perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dapat merapatkan lagi hubungan di antara negara jiran itu dengan Malaysia khususnya Sabah.

Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI), Tawau, Heni Hamidah, berkata hubungan kedua-dua negara sememangnya sangat baik sejak dari dahulu lagi.

Beliau berkata, perpindahan ibu negara itu akan meningkatkan lagi hubungan diplomatik di antara kerajaan Indonesia dan Malaysia.

“Sabah khususnya daerah Tawau adalah wilayah paling dekat dengan ibu kota Indonesia dan pastinya ia akan mewujudkan hubungan baharu dari segi ekonomi, perdagangan, pelaburan dan sosial.

“Bandar sempadan di daerah Tawau yang dicadangkan oleh kerajaan negeri juga sangat bertepatan kerana ia boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya ditemui pada majlis Hari Ulang Tahun (HUT) Kemerdekaan Indonesia Ke-77 di pejabat KRI Tawau, di sini, hari ini.

Katanya, kerja pembangunan ibu negara Indonesia di Kalimantan Utara kini giat dilakukan.

Malah, beliau berkata pegawai kerajaan juga sudah dihantar ke lokadi ibu negara baharu itu dan ia akan dilakukan secara bertahap sehingga ia siap sepenuhnya.

Mengulas mengenai HUT Kemerdekaan ke-77 Indonesia, Heni berkata sambutan di peringkat KRI Tawau dilakukan dengan kehadiran kakitangan, Persatuan Wanita KRI Tawau, Pemimpin Masyarakat dan rakyat Indonesia yang berada di Tawau.

“Tema kemerdekaan ‘Pulih Lebih Cepat, Bangkit Lebih Kuat’ tahun ini adalah harapan agar Indonesia boleh bangkit setelah berlakunya pandemik Covid-19 selama lebih dua tahun.

“Sambutan ini dijalankan dengan penuh istiadat dan semua kakitangan KRI mengenakan pakaian adat dari daerah masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|