70 peserta tamat kursus SAPS, PIUMS

70 peserta tamat kursus SAPS, PIUMS

Kota Kinabalu: Seramai 70 peserta berjaya menamatkan kurus Sijil Asas Pengajian Syariah (SAPS) di bawah seliaan Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) pada majlis graduasi pertama yang berlangsung baru-baru ini.

SAPS yang mula ditawarkan pada 2021 adalah kursus jangka pendek mengenai pengenalan syariah Islam, kaedah mengeluarkan hukum berdasarkan fahaman usul fiqh dan qawaid fiqh, sistem kekeluargaan Islam, sistem muamalat, undang-undang jenayah dan pemerintahan Islam.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Madya Dr Raman Noordin yang menjalankan tugas Naib Canselor, berkata pelaksanaan SAPS adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 untuk melahirkan modal insan holistik yang mampu menghadapi cabaran dan tuntutan semasa.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada PIUMS yang bertanggungjawab sebagai urus setia yang melaksanakan pensijilan ini.

“Ia selaras dengan peranan PIUMS dalam membangunkan program dan aktiviti pembelajaran keagamaan di UMS dalam meningkatkan kefahaman Islam, pengamalan, penerapan akhlak mulia dan nilai-nilai murni dalam kalangan warga UMS khususnya dan masyarakat awam amnya.

“Tidak dilupakan juga kepada Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS yang menyumbang tenaga pengajar berkepakaran dalam bidang masing-masing demi menjayakan SAPS, serta agensi luar khususnya pejabat Mufti Negeri Sabah yang turut sama menggembleng tenaga menjayakan pelaksanaan kelas ini,” katanya ketika merasmikan majlis itu di Dewan Seminar PIUMS.

Katanya, pelaksanaan Sijil Asas Pengajian Syariah (SAPS) adalah salah satu daripada pelaksanaan Modul Pembelajaran Islam Sepanjang Hayat (PISH) yang telah dirancang, dengan dua pensijilan PISH yang telah dilaksanakan iaitu Sijil Profesional Pengurusan Masjid (SPPM) dan SAPS.

“Konteks pembelajaran sepanjang hayat dalam Islam adalah sangat jelas kerana Islam menggalakkan penganutnya untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang untuk manfaat manusia.

“Ia bermaksud bahawa ilmu yang dipunyai oleh manusia tidak pernah cukup malah manusia digalakkan untuk mempelajari sesuatu yang tidak diketahui olehnya supaya menjadi seorang yang lebih tahu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PIUMS Ustaz Md Razali Saibin ketika ditemui pada majlis yang sama turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya pihak pengurusan tertinggi UMS yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada PIUMS dalam aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof Dr Rasid Mail; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Pensyarah Kanan FIS, Dr Sarip Adul.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|