Harapan kukuhkan hubungan baik negeri-persekutuan di bawah PM-10

Harapan kukuhkan hubungan baik negeri-persekutuan di bawah PM-10

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan harapannya agar hubungan baik di antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan yang sedia terjalin dapat diperkukuhkan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hajiji berkata, hubungan baik di antara Sabah dengan Putrajaya itu penting, lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berakhir Sabtu lalu, demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama.

Kita baharu sahaja selesai mengadakan PRU15 dan proses pilihan raya kali ini telah berlangsung dengan baik tanpa sebarang insiden serius yang tidak diingini, Alhamdulillah.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Ke-10.

“Semoga hubungan baik di antara kerajaan negeri Sabah dengan kerajaan persekutuan yang sedia terjalin akan dapat diperkukuhkan demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN), petang ini.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), petugas pilihan raya dan pasukan keselamatan yang bekerja keras bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan baik dan sempurna.

Hajiji berkata, dengan selesainya PRU15, maka kerajaan negeri perlu segera kembali fokus kepada tugas mengurus dan mentadbir negeri, sesuai dengan mandat dan amanah yang diberikan rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) lalu.

“Tempoh lima tahun yang diberikan kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) ini masih berbaki tiga tahun lagi untuk kita melaksanakan apa yang telah dijanji, khususnya perancangan pembangunan, sesuai dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), iaitu Dasar Pembangunan Negeri,” katanya.

Katanya, Halatuju SMJ yang menjadi asas kepada matlamat memakmurkan negeri Sabah semakin membuahkan hasil yang positif.

Malah, katanya cogan kata Sabah Maju Jaya semakin menjadi sebutan ramai walaupun ada ketikanya cogan kata keramat itu dimanipulasi oleh segelintir pihak bertujuan untuk menyindir atau mencemuh kerajaan.

“Apapun bentuk sindiran atau kata-kata nista yang dilemparkan terhadap kerajaan pilihan rakyat ini, namun ia tidak sekali-kali memudarkan hasrat dan iltizam kerajaan negeri untuk melipatgandakan usaha bagi melaksanakan dasar-dasar pembangunan dalam tempoh tiga tahun mendatang dan tahun-tahun berikutnya.

“InshaAllah, demi kemajuan negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat. Sememangnya inilah yang kita impikan, negeri Sabah yang maju, pesat membangun, aman dan makmur,” katanya.

Jelasnya, tugas dan tanggungjawab memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat yang digalas pemimpin negeri bukan sesuatu yang mudah.

“Melihat kepada suasana semasa dengan keadaan politik yang tidak menentu serta iklim ekonomi yang lembab, kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kecekalan dan ketahanan diri semata-mata belum mencukupi untuk kita membuat perubahan atau mencipta kejayaan. Sekali lagi saya tekankan, perjuangan mentadbir negeri ini bukan suatu perkara yang mudah.

“Pelbagai tribulasi harus dilalui dan ditempuhi dengan penuh kesabaran serta kebijaksanaan, dan yang lebih penting, kita mempunyai iltizam politik atau political will, untuk melakukan perubahan dan kemajuan yang holistik kepada negeri yang tercinta ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|