Belanjawan Sabah RM5.138 bilion tahun depan

Belanjawan Sabah RM5.138 bilion tahun depan

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah hari ini membentangkan belanjawan terbesar berjumlah RM5.138 bilion untuk tahun depan berbanding kutipan hasil negeri yang diunjur RM5.268 bilion.

Belanjawan bertemakan Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera itu menunjukkan peningkatan RM542 juta berbanding RM4.596 bilion yang diperuntukkan pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah petang ini, berkata, berdasarkan unjuran kutipan hasil itu, belanjawan tahun depan diunjur mencatat lebihan hasil RM130.47 juta.

“Ini bermakna Belanjawan 2023 adalah satu Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) sebanyak RM130.47 juta dan belanjawan tertinggi dalam sejarah Belanjawan Negeri Sabah sejak merdeka.

“Semoga Belanjawan 2023 ini dapat memberikan manfaat dan kesenangan, juga memberi berkat kepada tampuk kepemimpinan saya untuk terus memajukan negeri ini, agar setiap lapisan rakyat dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, sebahagian besar belanjawan Sabah pada tahun depan diagihkan kepada Kementerian Kewangan negeri iaitu sebanyak RM2.16 bilion, diikuti Kementerian Kerja Raya negeri (RM1.16 bilion) dan Jabatan Ketua Menteri (RM634.41 juta).

Selebihnya diagihkan kepada Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri (RM501.54 juta), Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (RM212.63 juta), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (RM204.03 juta) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (RM175.61 juta).

Selain itu, Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan (RM167.75 juta), Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (RM157.58 juta), Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (RM134.59 juta), Kementerian Belia dan Sukan Sabah (RM97.50 juta) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (RM54.51 juta).

Turut diperuntukkan ialah Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM227.24 juta dan Perbelanjaan Yang Tidak Termasuk Dalam Kementerian- Kementerian sebanyak RM38.79 juta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|