Bantuan khas setengah bulan gaji penjawat awam negeri dibayar Januari depan

Bantuan khas setengah bulan gaji penjawat awam negeri dibayar Januari depan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bantuan khas di bawah Belanjawan Sabah 2023 itu akan dibayar pada Januari tahun depan dan bakal memanfaatkan seramai 20,271 orang penjawat awam negeri.

“Bayaran Bantuan Khas ini diharap akan dapat meringankan bebanan perbelanjaan persekolahan anak-anak dan untuk sambutan perayaan Tahun Baharu Cina

“Selain daripada itu, Bantuan Khas sebanyak RM500 untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan juga akan diberikan dan dibayar pada April 2023.

“Dengan pemberian insentif ini saya berharap agar para penjawat awam dapat berusaha dengan cekap dan lebih gigih lagi bagi memastikan mutu perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN), petang ini.

Katanya, pemberian bantuan khas itu sejajar dengan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam di negeri ini.

Beliau berkata, kecekapan penjawat awam dalam melunaskan amanah dan tanggungjawab yang menyumbang kepada pembangunan negeri dengan tidak berbelah bahagi amat dihargai.

Terdahulu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, bagi memantapkan perkhidmatan awam, agensi kerajaan negeri melaksanakan pelbagai langkah untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi pendigitalan.

Katanya, ia bagi mengurangkan proses birokrasi dan meningkatkan keupayaan institusi sektor awam.

“Usaha pembangunan kapasiti perlu terus dipertingkatkan untuk memastikan penjawat awam mampu menggerak dan memacu agenda pembangunan negeri.

“Bagi tujuan ini, sejumlah RM12.83 juta telah diperuntukkan pada tahun hadapan kepada semua Kementerian dan Jabatan untuk Program Pembangunan Sumber Manusia.

“Di samping itu, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan sebanyak RM7.5 juta bagi pembiayaan biasiswa dan kos latihan pegawai-pegawai kerajaan di dalam dan di luar negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|