Hajiji tandatangani perjanjian permuafakatan Kerajaan Perpaduan

Hajiji tandatangani perjanjian permuafakatan Kerajaan Perpaduan

Putrajaya: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menandatangani perjanjian Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Pengerusi dan Setiausaha Agung lima gabungan menandatangani perjanjian itu termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menandatangani perjanjian Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri.

Bercakap pada majlis itu, Hajiji yakin Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pimpinan Anwar akan membawa kestabilan politik di negara ini amnya dan Sabah khasnya.

“Ini adalah sesuatu yang istimewa untuk menyatu-padukan rakyat Malaysia. Kita di Sabah amat memerlukan suasana seumpama ini kerana ia boleh memberi suatu harapan yang begitu baik kepada Sabah terutama dalam aspek ekonomi dan pembangunan, memandangkan Sabah sebuah negeri yang agak besar.

“Inilah matlamat kita. Saya yakin Kerajaan Perpaduan akan menjadi kerajaan yang kuat dan kerajaan yang diharapkan oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini”, katanya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Setiausaha GRS turut menandatangani perjanjian itu mewakili GRS.

GRS merupakan antara lima gabungan utama yang menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Gabungan lain ialah Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan WARISAN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|