Dua beradik mangsa cabul dan rogol diselamatkan

Dua beradik mangsa cabul dan rogol diselamatkan

Kota Kinabalu: “Kita menyarankan kepada sesiapa saja yang menjadi mangsa cabul atau rogol supaya tampil membuat laporan bagi mendapatkan keadilan”.

Demikian tegas Pengerusi Pertubuhan Permuafakatan dan Perpaduan Masyarakat Peranakan Suluk Bajau Sabah (PSBS), Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad yang membantu dua beradik mangsa seksual sumbang mahram, baru-baru ini.

Datu Mohd Akjan berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia untuk membantu mereka yang menjadi mangsa jenayah domestik seperti ini.

Katanya, tujuan mereka mewar-warkan kejadian kali ini juga adalah untuk mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab akan keselamatan anak-anak terutamanya mereka yang masih dibawah umur.

“PSBS mahu menjadikan kejadian ini sebagai iktibar kepada masyarakat selain cuba untuk menyampaikan mesej kepada mangsa bahawa ada pihak yang boleh membantu mereka.

“Seperti dalam kes kali ini, kami membawa kedua-dua mangsa membuat laporan polis sehingga tertangkapnya individu terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya pada sidang media dipejabatnya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi PSBS, Datuk Amran @ Raffik Mahalan.

Menurutnya, pihaknya percaya selepas ini lebih ramai mangsa kepada jenayah ini akan tampil untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, menceritakan berhubung kejadian yang menimpa dua beradik berusia 14 dan 16 tahun terbabit, Datu Mohd Akjan berkata, kedua-dua remaja terbabit mengaku menjadi mangsa seksual sejak berusia 10 tahun.

Katanya, antara pelaku kepada kejadian jenayah berkenaan adalah datuk tiri, pakcik tiri dan bapa kandung kedua-dua mangsa.

“Salah seorang mangsa kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, di sini, berikutan kecederaan akibat serangan seksual berkenaan.

“Difahamkan, semua pelaku ini sudah ditahan polis untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|